Bayaran Interim RM1.5 Bilion Bukti Pendekatan Rundingan GRS Membawa Hasil – Nizam

Bayaran Interim RM1.5 Bilion Bukti Pendekatan Rundingan GRS Membawa Hasil – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menyifatkan peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti bahawa pendekatan rundingan yang diamalkan Kerajaan Negeri Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membawa hasil yang nyata kepada negeri itu.

Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan tersebut menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memperjuangkan hak-hak Sabah menerusi saluran rundingan yang konstruktif bersama Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, peningkatan bayaran interim itu merupakan petunjuk jelas bahawa tuntutan Sabah terus diberi perhatian dan diterjemahkan kepada komitmen kewangan yang lebih besar sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dimuktamadkan.

“Pengumuman ini membuktikan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri bersama GRS yang memilih jalan rundingan, kebijaksanaan dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan akhirnya membawa hasil yang nyata kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, peningkatan bayaran interim tersebut sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan hak Sabah.

Katanya, perjuangan hak Sabah tidak seharusnya diukur melalui retorik politik atau kenyataan beremosi semata-mata, sebaliknya berdasarkan pencapaian dan hasil yang berjaya diperoleh untuk kepentingan rakyat.

“Hakikatnya, perjuangan hak Sabah bukan hanya diukur melalui laungan kuat di pentas politik atau kenyataan beremosi di media sosial, tetapi melalui hasil yang dapat dibawa pulang kepada negeri dan rakyat,” katanya.

Nizam menjelaskan proses memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan pelbagai aspek perundangan, fiskal dan pentadbiran yang memerlukan penelitian serta rundingan yang berterusan antara kedua-dua kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata pendekatan yang diambil oleh GRS adalah lebih matang kerana mengimbangi ketegasan mempertahankan hak Sabah dengan keperluan mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pendekatan tersebut telah membuka ruang penyelesaian yang lebih luas dan membolehkan Sabah memperoleh manfaat interim yang lebih besar sementara formula muktamad sedang diperhalusi.

Beliau turut mengambil maklum penegasan Anwar bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah bukan lagi persoalan sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu pemuktamadan mekanisme dan kaedah pelaksanaan.

“Ini adalah perkembangan yang amat penting dalam sejarah perjuangan MA63 kerana ia menunjukkan komitmen yang semakin jelas terhadap pelaksanaan hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Nizam berkata, walaupun rakyat Sabah mengharapkan penyelesaian yang segera, kerajaan yang bertanggungjawab perlu memastikan setiap keputusan dibuat secara teliti agar mampu dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat jangka panjang kepada negeri.

Beliau menegaskan PGRS akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus secara segera, telus dan adil selaras dengan semangat MA63.

“Pengumuman RM1.5 bilion ini membuktikan bahawa jalan rundingan yang dipilih oleh GRS bukan jalan lemah, tetapi jalan yang membawa hasil. Inilah politik matang yang diperlukan Sabah, politik yang bukan sekadar lantang, tetapi berkesan,” katanya.