Insentif Tunai Galak Atlet Muda, Victor Paut Tutup MSSD Tambunan Ke-58

Insentif Tunai Galak Atlet Muda, Victor Paut Tutup MSSD Tambunan Ke-58

0
SHARE

TAMBUNAN: Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor Peter Paut mengumumkan beberapa insentif bagi menyokong atlet muda Tambunan ketika merasmikan penutupan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tambunan Kali Ke-58 di Kompleks Sukan Tambunan.

Beliau menawarkan sumbangan RM200 kepada setiap atlet yang meraih pingat emas di peringkat negeri, selain ganjaran RM1,000 bagi setiap rekod baharu yang dipecahkan.

Victor turut menyalurkan bantuan RM10,000 kepada kontinjen Tambunan yang dianggotai 80 atlet untuk menyertai kejohanan peringkat negeri di Ranau.

“Saya juga akan memberikan sumbangan perbelanjaan sebanyak RM10,000 kepada kontinjen Tambunan supaya atlet-atlet muda kita tersuntik semangat dan berjuang penuh daya untuk membawa kejayaan kepada daerah ini. Semoga kejayaan milik kita bersama,” katanya.

Menurutnya, penyertaan dalam sukan mampu membentuk jati diri, disiplin dan semangat juang dalam kalangan pelajar.

“Mereka akan belajar bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah kerana setiap kejayaan itu harus dibayar dengan kesungguhan dan pengorbanan. Tanpa latihan berterusan, disiplin tinggi dan semangat juang, kejayaan tidak mungkin tercapai,” jelasnya.

Victor berkata Tambunan sememangnya kaya dengan bakat sukan dan yakin kejohanan seperti itu mampu melahirkan atlet masa depan yang bakal mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.

Beliau turut menegaskan kecemerlangan sukan perlu seiring dengan pencapaian akademik serta pembentukan sahsiah yang baik, selain menghargai komitmen warga pendidik dan kerjasama ibu bapa dalam membangunkan potensi pelajar.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Johari Awang Damit, Pegawai Daerah Tuan Mohd Azri Jaini Jeffery serta pemimpin pendidikan dan masyarakat setempat.