G57: Kritikan Dan Laporan Polis Terhadap Kami Cubaan Alih Perhatian Daripada Kes...

G57: Kritikan Dan Laporan Polis Terhadap Kami Cubaan Alih Perhatian Daripada Kes RM1.5 Bilion Shafie Apdal

0
SHARE

KOTA KINABALU – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendakwa kritikan dan laporan polis yang dibuat terhadap mereka oleh beberapa pihak kebelakangan ini merupakan cubaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada persoalan berhubung kes dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah bernilai RM1.5 bilion yang pernah dikaitkan dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

G57 turut memaklumkan bahawa setiap kenyataan dan tindakan yang diambil oleh gerakan tersebut sentiasa mendapatkan pandangan serta nasihat daripada peguam yang berpengalaman bagi memastikan segala aktiviti dan kenyataan yang dikeluarkan mematuhi lunas undang-undang.

Menurut G57, mereka tidak bertindak secara melulu atau berdasarkan sentimen politik semata-mata, sebaliknya sentiasa mengambil kira aspek perundangan sebelum membuat sebarang kenyataan atau mengambil tindakan berkaitan isu kepentingan awam.

Menurut mereka, pihak tertentu dilihat lebih berminat membangkitkan isu status gerakan rakyat berbanding menjawab persoalan yang menjadi perhatian rakyat Sabah mengenai perkembangan kes berprofil tinggi tersebut.

G57 menjelaskan bahawa mereka hanyalah sebuah jawatankuasa bertindak rakyat yang berperanan sebagai platform advokasi masyarakat. Menurut mereka, jika alasan yang digunakan untuk menyerang G57 adalah kerana gerakan itu tidak didaftarkan sebagai pertubuhan, maka kumpulan penyokong Parti Warisan sepatutnya bersikap konsisten dengan membuat laporan polis terhadap mana-mana gerakan lain yang beroperasi atas kapasiti yang sama termasuk Bersih dan kumpulan yang menggunakan nama Suara Mahasiswa UMS.

G57 mendakwa pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa penggunaan nama universiti oleh kumpulan Suara Mahasiswa UMS tidak mendapat kebenaran rasmi daripada pihak universiti. Namun begitu, mereka mendakwa perkara tersebut tidak pernah dijadikan isu atau menjadi sasaran laporan polis oleh pihak yang kini lantang mengkritik G57.

Foto dua orang pelajar UMS yang dipercayai berasal daripada Semenanjung disyaki terlibat aktif menganjurkan demo haram di Sabah dengan menggunakan nama Suara Mahasiswa UMS…

“Jika benar mereka memperjuangkan soal pematuhan undang-undang dan peraturan, mengapa tiada laporan polis dibuat terhadap Bersih atau kumpulan yang menggunakan nama UMS tanpa kebenaran seperti yang telah dinyatakan oleh pihak universiti? Mengapa hanya G57 yang menjadi sasaran sedangkan terdapat gerakan lain yang turut beroperasi atas kapasiti yang sama?” menurut kenyataan itu.

G57 berkata keadaan tersebut menimbulkan persepsi bahawa tindakan mengkritik dan membuat laporan polis terhadap mereka bukanlah benar-benar berasaskan prinsip, sebaliknya dilakukan secara terpilih mengikut kepentingan politik tertentu.

Pada masa sama, G57 menegaskan bahawa Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 dan Perhimpunan Aman Tangkap Shafie yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Julai 2026 bukan dianjurkan oleh G57, sebaliknya oleh Sekretariat Bangkit Sabahan 2.0.

Menurut mereka, himpunan tersebut diwujudkan sebagai platform rakyat Sabah, khususnya golongan muda, untuk menyuarakan tuntutan agar SPRM membuka semula siasatan terhadap kes RM1.5 bilion membabitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sehingga kini tidak pernah dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan terbuka.

G57 turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang mendakwa memperjuangkan agenda anti rasuah tetapi dilihat tidak menunjukkan kesungguhan yang sama dalam mendesak penjelasan berhubung kes RM1.5 bilion tersebut.

Menurut mereka, rakyat Sabah masih menunggu jawapan mengapa siasatan besar-besaran yang pernah menggemparkan negara, termasuk tindakan reman terhadap Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ahli keluarga serta beberapa kontraktor yang dikaitkan dengan kes itu, akhirnya tidak diteruskan sehingga ke peringkat pendakwaan dan perbicaraan terbuka di mahkamah.

G57 turut mendakwa bahawa antara perkara yang terus menimbulkan persoalan ialah pengumuman bahawa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan didakwa bukan dibuat oleh SPRM sendiri, sebaliknya diumumkan oleh mendiang Datuk Liew Vui Keong yang ketika itu merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang serta pemimpin Parti Warisan Sabah.

Menurut G57, keadaan itu menyebabkan ramai rakyat Sabah terus mempersoalkan bagaimana satu siasatan berprofil tinggi yang melibatkan dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion akhirnya ditutup tanpa sebarang pendakwaan di mahkamah.

Mereka turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang menganjurkan perhimpunan anti rasuah dengan menyasarkan pemimpin tertentu sedangkan individu seperti Tun Musa Aman dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak pernah disabitkan bersalah oleh mana-mana mahkamah.

Menurut mereka, Tun Musa Aman telah melalui proses perbicaraan sebelum dibebaskan oleh mahkamah, manakala Hajiji Noor pula tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan rasuah.

G57 berpandangan Hajiji Noor sepatutnya diberikan penghargaan kerana mengambil pendirian tegas dalam isu lesen mineral Sabah dengan membatalkan lesen-lesen yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Albert Tei, sekali gus menghalang cubaan menguasai sektor mineral negeri.

Pada masa sama, G57 sekali lagi menegaskan bahawa Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 sama sekali bukan bertujuan mempertahankan mana-mana wakil rakyat yang dikaitkan dengan kontroversi video melibatkan ahli perniagaan Albert Tei atau mana-mana individu yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

Menurut mereka, pendirian G57 adalah jelas dan konsisten bahawa mana-mana individu yang didapati terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa atau sebarang jenayah hendaklah dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira parti politik, jawatan atau kedudukan mereka.

“Jangan cuba menggambarkan seolah-olah Bangkit Sabahan 2.0 diwujudkan untuk mempertahankan mana-mana pemimpin. Kami menyambut baik sekiranya semua wakil rakyat yang dikaitkan dengan sebarang salah laku, termasuk mereka yang disebut dalam isu Albert Tei, didakwa di mahkamah sekiranya terdapat bukti yang mencukupi.

“Prinsip kami mudah. Sesiapa yang bersalah mesti didakwa. Sesiapa yang tidak bersalah tidak boleh dihukum melalui persepsi atau perbicaraan media. Undang-undang mesti dilaksanakan secara adil terhadap semua pihak tanpa mengira sama ada mereka berada dalam kerajaan, pembangkang atau mana-mana parti politik,” menurut kenyataan itu lagi.

Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Julai 2026 di Dataran Deasoka, Kota Kinabalu dengan tema “Baju Hitam”.

Penganjur menjangkakan kira-kira 1,000 peserta akan hadir, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, mahasiswa, aktivis dan orang awam.