SEMPORNA: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah komited membantu menyelesaikan isu pelesenan yang dihadapi sebahagian pengusaha premis pelancongan di Semporna menerusi penyelarasan bersama kementerian, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, hasil perbincangan bersama pihak berkaitan mendapati masih terdapat permohonan lesen yang belum dapat diluluskan berikutan dokumen yang tidak lengkap, kegagalan memenuhi syarat pelesenan serta beberapa isu teknikal.
Beliau berkata, Lesen Pendudukan Sementara (Temporary Occupation Licence atau TOL) juga tidak boleh dilesenkan di bawah peraturan sedia ada.
“Saya juga dimaklumkan bahawa Majlis Daerah Semporna sedang meneliti semula pelan pengezonan kawasan perairan, termasuk cadangan rezoning bagi memastikan status kawasan adalah selaras dengan keperluan pembangunan pelancongan semasa.
“KePKAS memahami cabaran yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan tempatan. Saya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, bagi meneliti isu ini dan mencari penyelesaian yang praktikal tanpa menjejaskan pematuhan kepada undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jafry dalam kenyataan sama turut menyeru semua pengusaha pelancongan agar terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melengkapkan segala dokumen dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan bagi mempercepatkan proses kelulusan.
“KePKAS akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyelaras perbincangan bersama kementerian, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan agar isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Matlamat kita ialah memastikan industri pelancongan di Semporna terus berkembang secara sah, teratur dan mampan, di samping memperkukuhkan penyertaan pengusaha tempatan dalam memacu ekonomi pelancongan Sabah,” katanya.






