Pelajar Perempuan Cedera Ditikam Rakan Sekolah Lebih 10 Kali di Banting

Pelajar Perempuan Cedera Ditikam Rakan Sekolah Lebih 10 Kali di Banting

0
SHARE

BANTING: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera selepas dipercayai ditikam lebih 10 kali oleh seorang pelajar perempuan lain dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Banting, Selangor pagi tadi.

Mangsa berusia 15 tahun mengalami kecederaan di bahagian belakang dan bahu sebelum dihantar ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan suspek berusia 15 tahun telah ditahan dan senjata tajam turut dirampas. Kes kini disiasat di bawah cubaan bunuh.

Kejadian berlaku antara jam 9.30 pagi hingga 10 pagi apabila suspek yang dikatakan tidak hadir ke sekolah selama beberapa bulan sebelum ini disebabkan menjalani rawatan perubatan dipercayai memasuki kawasan sekolah dan menyerang mangsa.

Suspek kemudian berjaya ditenangkan oleh seorang guru sebelum ditahan pihak polis di kawasan sekolah.

Jabatan Pendidikan Selangor memaklumkan pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak polis serta telah menggerakkan guru kaunseling bagi memberikan sokongan psikososial kepada pelajar, guru dan warga sekolah terlibat. Ia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian.