KOTA KINABALU: Seramai lima pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah jenis methamphetamine (syabu) dalam Operasi Bersepadu Dadah yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sejak 1 Julai lalu.
Operasi yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyasarkan pemandu kenderaan perdagangan bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah serta mematuhi undang-undang jalan raya.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, daripada 60 pemandu yang disaring, lima didapati positif dan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.
“Keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen vokasional (LV) pemandu terlibat akan ditahan, manakala LV turut digantung selama tiga bulan sementara siasatan dijalankan.
Katanya, syarikat pengangkutan juga boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan di lokasi strategik termasuk jalan raya utama, stesen pemeriksaan komputer dan terminal bas, melibatkan kenderaan barangan, perkhidmatan awam serta pelancongan.
Dalam tempoh sama, Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) merekodkan 3,941 kenderaan diperiksa, dengan 218 diambil tindakan, 28 disita dan 588 notis saman dikeluarkan.






