GRS di Landasan Tepat Hadapi PRU-16 – Najib

GRS di Landasan Tepat Hadapi PRU-16 – Najib

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan berada di landasan yang tepat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Bendahari Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Apas, Datuk Najib Tay Abdullah berkata, kekuatan gabungan itu terletak pada komposisi parti komponennya yang mewakili masyarakat majmuk di Sabah serta pengalaman luas dalam landskap politik negara.

Beliau berkata, kepimpinan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah, turut menjadi simbol perpaduan antara parti-parti yang sebelum ini pernah bersaing.

Setakat ini, saya melihat Hajiji dan barisan kepimpinan GRS tidak berdepan masalah besar untuk menghadapi PRU-16,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri ketika ini mengamalkan kerjasama melibatkan pelbagai parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang turut berada dalam pentadbiran negeri.

Najib berkata, Hajiji lebih memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negeri berbanding berpolitik, termasuk melalui inisiatif berkaitan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pelaksanaan Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta program pembangunan lain.

Katanya, aspek kebajikan rakyat juga terus diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Sabah dan Rumah SMJ.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri kini lebih memberi fokus kepada pelaksanaan dasar dan pembangunan, sambil menggesa agar sebarang kritikan disampaikan secara membina demi kepentingan rakyat.

Tambahnya, belum tentu mana-mana pentadbiran selepas ini mampu mentadbir negeri secekap kerajaan GRS dan sekutunya, yang menurutnya telah menunjukkan rekod pentadbiran yang baik sepanjang tempoh memerintah.