PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memperluas kerjasama antarabangsa dalam penguatkuasaan undang-undang persaingan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC), hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama itu penting dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin kompleks apabila aktiviti perniagaan serta isu persaingan kini semakin bersifat rentas sempadan.
“Kerjasama antara pihak berkuasa persaingan pelbagai negara amat penting bagi membolehkan perkembangan pasaran serta cabaran penguatkuasaan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Armizan, MoU berkenaan merangkumi pertukaran maklumat mengenai perkembangan undang-undang persaingan termasuk pindaan perundangan, perkongsian pengalaman dalam siasatan serta kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain.
Kerjasama itu turut melibatkan pembangunan keupayaan penguatkuasaan melalui latihan, bengkel, penempatan sementara pegawai dan penyelidikan bersama.
Selain itu, MyCC dan HKCC akan bekerjasama membincangkan serta menangani isu persaingan rentas sempadan dan penguatkuasaan undang-undang secara dua hala atau bersama pihak berkuasa persaingan antarabangsa lain.
Armizan berkata, pemeteraian berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas jaringan strategik antarabangsa bagi memastikan persaingan pasaran yang sihat dan adil terus dipelihara.
MoU itu merupakan kerjasama antarabangsa keempat dimeterai MyCC selepas menjalin kerjasama dengan Turkiye Competition Authority (TCA), Korea Fair Trade Commission (KFTC) dan Philippine Competition Commission (PCC).
MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Haji Iskandar Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif HKCC, Rasul Butt.
Majlis berkenaan turut disaksikan Pengerusi MyCC, Tan Sri Dato’ Sri Idrus Harun dan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Algernon Yau serta wakil Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur.
Armizan berkata, KPDN melalui MyCC akan terus memperluas kerjasama dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat serantau dan antarabangsa bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan serta kapasiti institusi.
“Usaha ini akan digerakkan secara berterusan bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, memperkukuh kapasiti institusi dan memastikan ekosistem persaingan negara kekal dinamik dan berdaya saing demi kepentingan pengguna dan ekonomi negara,” katanya.






