KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan terhadap 14 penjaja yang dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen dalam operasi bersepadu di kawasan tempat letak kereta bersebelahan Pasar Besar Kota Kinabalu.
Operasi selama dua hari pada 1 dan 2 Ogos lalu itu turut menyaksikan empat kenderaan yang digunakan bagi aktiviti menjaja tanpa kebenaran disita.
DBKK dalam kenyataan memaklumkan, operasi bermula jam 10 malam dengan penglibatan 43 anggota daripada Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.
“Hasil operasi yang dijalankan selama dua hari tersebut, seramai 14 penjaja didapati menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen yang sah di kawasan yang tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 1966,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Daripada jumlah berkenaan, sembilan penjaja ditawarkan kompaun mengikut UUK Penjaja 3(11), manakala beberapa peralatan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan turut dirampas.
Selain tindakan terhadap penjaja, empat kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti berkenaan turut disita oleh pihak berkuasa.
Menurut DBKK, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang kecil yang berkuat kuasa di sekitar ibu negeri.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang kecil yang berkuat kuasa di sekitar bandar raya sentiasa dipertingkatkan,” katanya.






