Lagu ‘Tiwikarma’ Nyanyian K.O.I Dinobat Juara AJL40

Lagu ‘Tiwikarma’ Nyanyian K.O.I Dinobat Juara AJL40

0
SHARE
Lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I hasil ciptaan Zai Hamzah & Hemo Globin, Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam diumumkan juara Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi...

KUALA LUMPUR – Lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang diadakan secara gilang gemilang di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Kemenangan itu melayakkan K.O.I bersama komposer Zai Hamzah dan Hemo Globin serta penulis lirik Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 serta trofi AJL40 sekali gus melengkapkan penampilan sulung mereka di pentas berprestij itu.

‘Tiwikarma’ mencuri perhatian menerusi persembahan yang sarat mesej kemanusiaan, dengan bait-bait lirik puitis diterjemahkan menerusi elemen lakonan teater yang menggambarkan penderitaan, selain helaian kertas yang berterbangan membawa mesej berkaitan kemanusiaan.

Pendekatan itu menyentuh emosi penonton di Unifi Arena, Bukit Jalil, apabila persembahan K.O.I turut menerima tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’ penonton.

Tempat kedua pula sah menjadi milik Aisha Retno menerusi ‘Tak Adil’ yang membawa pulang RM50,000 dan trofi.

Ryenald Guntabid menerusi ‘Lumangad Oku Dika’ pula menduduki tempat ketiga, dengan membawa pulang RM30,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, Aina Abdul menerusi ‘Kamu’ diumumkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee.

Aina menerima RM12,000 bagi Anugerah Persembahan Terbaik, manakala RM50,000 untuk Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee.

Lebih istimewa lagi apabila Aina turut dipilih mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026.

Marsha Milan pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Vokal Terbaik AJL40, sekali gus membawa pulang trofi serta wang tunai RM12,000.

Selain siaran langsung di TV3, AJL40 juga disiarkan menerusi strim secara eksklusif di aplikasi Tonton atau www.tonton.com.my.

AJL40 dibawakan oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) sebagai badan kebajikan pilihan dengan Shopee sebagai Rakan E-Commerce, Grab selaku Rakan E-Hailing Rasmi, Unifi sebagai Rakan Telekomunikasi dan Volvo sebagai Rakan Selamat

AJL40 turut diserikan dengan HotFM dan KoolFM sebagai rakan radio manakala OhBulan!, XTRA, dan SEISMIK sebagai rakan digital rasmi.

AJL40 menampilkan Datuk Francissca Peter (Sekadar Di Pinggiran), Misha Omar (Bunga-Bunga Cinta), Haqiem Rusli (Jampi), Syamel dan Ernie Zakri (Isabella & Gemilang), Azlan (Lagu Untukmu) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Umairah (Cindai) menerusi segmen bekas juara-juara AJL sebagai pembuka tirai.

Selain itu, Daiyan Trisha (Jangan Lupa Jaga Dirimu) dan Nabila Razali (Warnai Pelangi) turut tampil sebelum segmen interlud yang disusuli gabungan dua figura ikonik, Amelina dan Ziana Zain bagi persembahan penutup.