Menang Tanpa Bertanding, Christoper Terus Terajui Pemuda PBS

Menang Tanpa Bertanding, Christoper Terus Terajui Pemuda PBS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Datuk Dr. Christoper Mandut akan terus menerajui Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) selepas bakal pencabarnya, Dr. Rockey Jerome Budin, menarik diri daripada menawarkan diri bagi jawatan Ketua Exco Pemuda PBS Pusat dalam pemilihan parti kali ini.

Keputusan itu sekali gus membolehkan Christoper mempertahankan jawatan berkenaan tanpa bertanding, dengan Rockey berkata langkah tersebut dibuat selepas mengambil kira kepentingan, perpaduan serta masa depan parti.

Rockey yang juga Timbalan Ketua Exco Pemuda PBS Pusat (Kuota Biru) berkata, peralihan kepimpinan parti ketika ini memerlukan sokongan padu daripada seluruh anggota bagi memberi ruang kepada Presiden dan barisan kepimpinan baharu untuk menstabilkan parti, merapatkan saf serta memperkukuhkan organisasi.

Peralihan fasa kepimpinan memerlukan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi. Saya percaya kita harus memberi peluang penuh kepada pucuk pimpinan baharu untuk mengukuhkan asas parti, merapatkan saf dan menstabilkan pentadbiran tanpa sebarang gangguan dalaman,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, keputusan menarik diri itu turut mengambil kira keperluan PBS untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, perkembangan politik semasa menuntut tahap kesiapsiagaan tinggi dan seluruh tenaga parti perlu digembleng bagi memperkukuhkan jentera serta memastikan PBS bersedia menghadapi cabaran pilihan raya.

“Fokus kita hari ini mesti dialihkan sepenuhnya kepada persiapan jentera parti bagi menghadapi PRU yang dijangka tidak lama lagi, tanpa tenaga kita dipecahkan oleh persaingan dalaman yang berpanjangan,” katanya.

Rockey menegaskan jawatan dan kedudukan bukan keutamaannya, sebaliknya kepentingan parti perlu mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok.

“Bagi saya, jawatan dan kedudukan bukanlah keutamaan. Apa yang jauh lebih penting ialah kelangsungan, perpaduan dan kemenangan parti. Kepentingan PBS harus diletakkan jauh melebihi segala kepentingan individu atau kelompok,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, keputusan memberi laluan sepenuhnya kepada Christoper dibuat dengan berlapang dada demi memastikan Pemuda PBS dapat bergerak sebagai satu pasukan yang kukuh dan bersatu.

Dalam perkembangan sama, beberapa calon lain bagi barisan kepimpinan Pemuda PBS Pusat turut menarik diri daripada pertandingan.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Biru), Pegawai Penerangan Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun, menarik diri bagi memberi laluan kepada Stanley Leo untuk menang tanpa bertanding.

Setiausaha Pemuda PBS Bahagian Kepayan, Adlu Shah pula menarik diri daripada perebutan jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Kuning), sekali gus memberi laluan kepada Mohd Khairol Majde yang juga Naib Ketua (Kuota Kuning).

Bagi jawatan Naib Ketua (Kuota Biru), Exco Pemuda, Rainy Valentine turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Kevin Jon Johnny untuk menang tanpa bertanding.

Rockey berkata perkembangan itu mencerminkan kesediaan barisan Pemuda PBS untuk mendahulukan kepentingan dan perpaduan parti berbanding persaingan mendapatkan jawatan.

Beliau berharap barisan kepimpinan Pemuda PBS yang dibentuk kelak dapat bergerak sebagai satu pasukan serta memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan jentera parti menjelang PRU akan datang.

“Perjuangan ini bukan tentang siapa yang memegang jawatan, tetapi tentang bagaimana kita bersama-sama membawa suara rakyat dan memastikan PBS terus menjadi pilihan utama rakyat Sabah.

“Marilah kita merapatkan saf dan bergerak sebagai satu pasukan. Kepentingan dan masa depan PBS harus sentiasa menjadi keutamaan kita bersama,” katanya.

Sementara itu, Christoper menghargai keputusan serta pengorbanan Rockey yang disifatkannya sebagai mencerminkan semangat kesatuan dan sikap mendahulukan kepentingan parti.

Beliau berkata keputusan berkenaan harus menjadi titik penyatuan semula seluruh barisan Pemuda selepas proses pemilihan yang menyaksikan wujudnya pertembungan dalam kalangan kepimpinan.

Menurutnya, proses pemilihan parti tidak seharusnya meninggalkan jurang atau kelompok yang boleh melemahkan perjuangan PBS, sebaliknya semua pihak perlu kembali bergerak sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Presiden PBS.

“Tiada lagi Team Dr. Christoper atau Team Dr. Rockey, tetapi kita adalah Team Presiden PBS yang akan memimpin parti kita seterusnya,” tegasnya.

Christoper berkata semangat kesatuan itu penting bagi memastikan Pemuda PBS kekal sebagai sayap yang kukuh dan mampu memainkan peranan utama dalam memperkasakan parti serta mempersiapkan jentera menghadapi cabaran politik akan datang.