KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai serta kakitangan Jabatan Botaninya dalam aspek pengecaman flora, penyediaan herbarium, pemuliharaan biodiversiti dan pendidikan alam sekitar menerusi kursus yang dilaksanakan baru-baru ini.
DBKK dalam kenyataan pada Rabu berkata, Kursus Asas Pengecaman Flora, Penyediaan Herbarium dan Interpretasi Pendidikan Alam Sekitar itu dilaksanakan dari 3 hingga 6 Ogos lalu, membabitkan 30 pegawai dan kakitangan Jabatan Botani.
“Kursus ini dikendalikan oleh pensyarah jemputan, Dr. Shamsul Khamis, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sepanjang kursus, para peserta diberikan pendedahan secara teori dan praktikal bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab dalam pengurusan sebuah taman botani,” menurut kenyataan itu.
Antara pengisian utama kursus berkenaan ialah asas pengecaman spesies flora termasuk pengenalan kepada ciri-ciri penting tumbuhan dan kaedah asas mengenal pasti spesies.
Menurut DBKK, peserta turut mempelajari kaedah pengumpulan data dan penyediaan spesimen herbarium untuk digunakan sebagai bahan rujukan, dokumentasi serta penyelidikan.
Selain itu, peserta didedahkan kepada teknik interpretasi pendidikan alam sekitar, khususnya kaedah menyampaikan maklumat berkaitan flora, biodiversiti dan kepentingan pemuliharaan kepada pengunjung dengan lebih menarik, mudah difahami dan berkesan.
“Pelaksanaan kursus ini diharap dapat memperkukuh kompetensi pegawai dan kakitangan Jabatan Botani, DBKK dan meningkatkan keupayaan dalam aspek pengenalpastian flora, dokumentasi spesimen, pemuliharaan biodiversiti serta penyampaian pendidikan alam sekitar kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.






