KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) merancang mewujudkan sebuah pusat sehenti atau ‘One Stop Centre’ bagi usahawan dan gerakan koperasi yang disasarkan menjadi yang pertama seumpamanya di Sabah.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Awang Rusli Mohammad berkata, perancangan itu melibatkan cadangan pembangunan tanah milik KOPEKS yang menempatkan bangunan Sabah Times ketika ini.
Menurutnya, cadangan pembangunan berkonsepkan ‘Mini SICC’ itu dijangka menyediakan ruang komersial bagi gerakan koperasi, selain dewan berkapasiti lebih 1,000 orang, bilik seminar, bilik bengkel serta ruang pejabat.
“Kalau ikut di Sabah ini, kita memang belum ada lagi satu ‘One Stop Centre’ untuk usahawan dan juga gerakan koperasi.
“Semoga perancangan kita ini akan mendapat restu daripada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan, terutamanya Kerajaan Negeri dan juga KUSKOP,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat KOPEKS di sini, hari ini.
Awang Rusli berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat perancangan dan perbincangan antara SKM dan KOPEKS sebelum dibawa kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kerajaan Negeri untuk pertimbangan selanjutnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KOPEKS turut merancang memanfaatkan dua lot tanah miliknya di Beaufort bagi tanaman kelapa, selain meneliti potensi tanah lain untuk pembangunan perumahan, kedai serta kegunaan lain yang bersesuaian.
Pada masa sama, KOPEKS menyasarkan kutipan RM2.5 juta menerusi Kempen Tambahan Saham yang masih dibuka kepada semua anggotanya di seluruh Sabah, dengan lebih RM100,000 saham tambahan setakat ini telah dibeli atau dimiliki anggota.
“Tambahan saham ini adalah satu kempen yang sangat baik untuk kita melihat KOPEKS lebih ke depan dari segi aktiviti perniagaan dan juga bidang-bidang baharu yang akan diceburi,” katanya.
Beliau berkata, KOPEKS juga akan meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada anggota termasuk khairat kematian dan Tabung Pendidikan untuk anak-anak anggota yang melanjutkan pengajian.
Insentif pendidikan berkenaan antaranya melibatkan anak anggota yang berjaya dalam SPM, STPM, Diploma dan Ijazah Pertama, dengan kadar bayaran akan dibincangkan di peringkat Anggota Lembaga Pengarah KOPEKS.






