Gagasan Rakyat Ranau Perkukuh Saf Kepimpinan, Masidi Terajui Bahagian Baharu

Gagasan Rakyat Ranau Perkukuh Saf Kepimpinan, Masidi Terajui Bahagian Baharu

0
SHARE

RANAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Ranau tampil dengan barisan kepimpinan baharu susulan proses penstrukturan semula parti bagi memperkukuh gerak kerja organisasi di Parlimen Ranau.

Struktur baharu itu menghimpunkan kepimpinan bagi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Karanaan, Kundasang dan Paginatan di bawah satu bahagian yang diterajui Datuk Seri Masidi Manjun selaku Ketua Bahagian (Penaja).

Masidi berkata, penstrukturan berkenaan akan membolehkan gerak kerja parti di ketiga-tiga DUN diselaraskan dengan lebih tersusun dan berkesan, selain memastikan kepimpinan sentiasa dekat dengan masyarakat.

Keutamaan kita adalah membina sebuah organisasi yang kukuh, tersusun dan responsif terhadap keperluan rakyat. Penyatuan kekuatan di Karanaan, Kundasang dan Paginatan akan membolehkan kita bergerak sebagai satu pasukan dalam membawa aspirasi masyarakat Ranau,” katanya.

Beliau berkata, barisan kepimpinan baharu turut menggabungkan pengalaman pemimpin sedia ada dengan penglibatan generasi muda dan wanita bagi memastikan parti terus dinamik serta relevan dengan keperluan semasa.

“Setiap pemimpin yang diberikan amanah perlu turun ke lapangan, mendengar suara rakyat dan memastikan gerak kerja parti memberi manfaat kepada masyarakat. Jawatan bukan sekadar kedudukan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan komitmen,” katanya.

Dalam struktur berkenaan, Datuk Amisah Yassin dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian, Johari Suhaimin sebagai Naib Ketua, manakala Samsul Amar Jaimin sebagai Setiausaha Bahagian.

Bagi kepimpinan sayap pula, Mohd Sharin Mujin mengetuai Pergerakan Pemuda, Jalisa Nasiri menerajui Pergerakan Wanita dan Norhajiah Ropotoh sebagai Ketua Pergerakan Beliawanis.

Masidi berkata, penglibatan golongan muda dan wanita dalam kepimpinan bahagian penting dalam membawa idea serta pendekatan baharu, selain memastikan kesinambungan kepimpinan parti pada masa hadapan.

Menurutnya, barisan berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat, menyelaras gerak kerja di ketiga-tiga DUN serta menyokong agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk Ranau.

“Kita mahu Gagasan Rakyat Ranau bergerak dengan satu matlamat dan satu semangat. Kepentingan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap gerak kerja yang kita laksanakan,” katanya.

Penstrukturan semula itu dijangka memperkemas penyelarasan program dan aktiviti parti, sekali gus memperkukuh Gagasan Rakyat sebagai wadah yang membawa suara serta kepentingan masyarakat di seluruh Parlimen Ranau.