JENTERA WARISAN SEMAKIN MELAMPAU, FITNAH HAJIJI BINA PATUNG WAJAH SENDIRI – GAFS...

JENTERA WARISAN SEMAKIN MELAMPAU, FITNAH HAJIJI BINA PATUNG WAJAH SENDIRI – GAFS AKAN BUAT LAPORAN POLIS

0
SHARE

KOTA KINABALU – Gerakan Anti Fitnah Sabah (GAFS) mengecam tindakan jentera Parti Warisan yang didakwa menyebarkan gambar berunsur kecerdasan buatan (AI) bagi menyebarkan fitnah jahat dan mencetuskan kebencian dalam kalangan rakyat, kononnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, membina patung wajah dirinya sendiri di Sabah.

Hantaran menerusi Facebook “Sabah INFO” itu memaparkan dua patung menyerupai Hajiji di sebuah jejambat berserta kapsyen sindiran, “Kebanggaan orang undi dia je.” Facebook turut meletakkan label “AI content” pada hantaran berkenaan.

GAFS menegaskan bahawa gambar tersebut bukan bukti kewujudan patung sebenar, sebaliknya kandungan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence-AI) yang dipercayai digunakan untuk mengelirukan rakyat dan membina persepsi buruk terhadap Ketua Menteri Sabah.

“Jentera Warisan semakin melampau. Mereka bukan lagi mengkritik berdasarkan fakta, tetapi menggunakan gambar AI untuk menyebarkan fitnah jahat kononnya Datuk Seri Hajiji membina patung wajah dirinya sendiri.

“Perbuatan seperti ini boleh mencetuskan kebencian dan mengelirukan rakyat. Politik fitnah serta manipulasi menggunakan teknologi AI mesti dihentikan sebelum menjadi semakin tidak terkawal,” tegas GAFS dalam kenyataannya.

GAFS berkata pihaknya menyedari bahawa kepimpinan Warisan kini sedang berusaha memulihkan sokongan rakyat selepas kegagalan pentadbirannya selama 26 bulan.

“Kami sedar kepimpinan Warisan sedang berusaha memulihkan sokongan rakyat selepas kegagalan pentadbirannya selama 26 bulan. Namun, menghalalkan apa sahaja cara, termasuk menyebarkan fitnah, bukanlah tindakan yang betul dan tidak sepatutnya dilakukan oleh kepimpinan Warisan,” katanya.

Sehubungan itu, GAFS memaklumkan bahawa laporan polis akan dibuat terhadap pihak yang menghasilkan, memuat naik dan menyebarkan kandungan berkenaan supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

GAFS turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat akaun terbabit serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati melakukan sebarang kesalahan di bawah undang-undang.

Menurut GAFS, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan gambar palsu, fitnah atau kandungan yang bertujuan membangkitkan kebencian terhadap mana-mana pemimpin.

GAFS menegaskan bahawa perbezaan politik harus diraikan melalui perbahasan berasaskan fakta dan dasar, bukannya melalui fitnah, manipulasi gambar serta serangan peribadi.