SEMPORNA: Kepentingan menjaga kesihatan mental, kestabilan emosi dan memperkukuh sokongan dalam institusi keluarga menjadi antara penekanan utama Program Kasih MADANI Daerah Semporna 2026 dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah dengan kerjasama Majlis Daerah Semporna itu berlangsung di Dewan Sipadan, Majlis Daerah Semporna, pada Selasa.
Selain meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan keluarga, program berkenaan turut membuka peluang kepada masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan dan kaunseling secara langsung.
Antara perkhidmatan disediakan termasuk pemeriksaan paras gula dalam darah dan kolesterol, perancangan keluarga, saringan Pap smear serta HPV/DNA dan pendaftaran ujian mamogram.
Turut ditawarkan ialah khidmat kaunseling keluarga, perkhidmatan KafeTEEN dan advokasi Bual.
Forum berkaitan kesejahteraan mental, emosi dan sokongan keluarga turut diadakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan institusi keluarga dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pengarah LPPKN, Datutk Abdul Shukur Abdullah.
Hadir sama Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Semporna, Datin Saadiah Abdul Rashad; Ketua Bahagian PGRS Semporna, Datuk Dr Jasmin Julpin serta ahli jawatankuasa Wanita PGRS Semporna.






