KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan ahli politik negara termasuk dirinya untuk fokus kepada misi utama iaitu pengawalan kes COVID-19.
Dalam sebuah catatan pada halaman Facebook beliau, Salleh berkata dalam perkembangan baik peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) khususnya di Sabah, masalah yang dihadapi Rakyat seluruh negara seharusnya tidak dilupakan.
“Kita harus sentiasa bersedia dan waspada…ini meliputi masalah kesihatan, kewangan, dan kestabilan politik…
“Oleh itu, wajar kita berhati-hati dalam sebarang perbincangan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15, sama ada berkaitan kerjasama politik, pengagihan kerusi atau sebaliknya.
“Penting untuk kita elakkan sebarang persepsi negatif di khalayak Rakyat. Rakyat memerlukan kita sekarang untuk menyelesaikan atau memberikan keutamaan kepada masalah Rakyat,” katanya.
Salleh berkata masa sekarang (untuk ahli politik) adalah untuk bekerja dan Rakyat pasti akan menilai sebaiknya kelak.