Bantuan ‘One-Off’ RM500 Kepada Pemandu E-Hailing Mula Disalurkan 16 Ogos Ini

Bantuan ‘One-Off’ RM500 Kepada Pemandu E-Hailing Mula Disalurkan 16 Ogos Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) Fasa 1 kepada 3908 orang pemandu E-Hailing Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mula disalurkan Isnin ini (16 Ogos 2021).

Bantuan tersebut akan diagihkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah yang melibatkan peruntukan RM1.95 juta

Pengerusi LPKP Sabah Datuk Chin Kim Hiung berkata bayaran bantuan PEMERKASA Plus Fasa 1 ini merupakan lanjutan daripada pembayaran kepada 2588 orang pemandu teksi dan kereta sewa, bas sekolah serta bas pelancong yang telah disalurkan bermula 27 Julai 2021 melibatkan RM1.29 juta peruntukan.

“Sehingga rayuan ditutup pada 9 Ogos 2021, LPKP Sabah menerima 4627 senarai nama pemandu e-hailing daripada syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk saringan penerima bantuan PEMERKASA Plus iaitu seramai 4461 orang pemandu GRAB, 54 orang pemandu Maxim dan 112 orang pemandu MyCar…

“Daripada jumlah 4627 senarai pemandu e-hailing yang diterima, hanya 3908 orang yang layak menerima bantuan selepas memenuhi kritera yang ditetapkan iaitu pemandu perlu mencapai sasaran pendapatan sekurang-kurangya RM500 sebulan dalam mana-mana tempoh dari Januari hingga Mei 2021 dan pemandu perlu mempunyai lesen EVP (e-vehicle permit) dan lesen PSV (public service vehicle) yang masih aktif pada atau selepas 31 Mac 2021,” katanya.

Semakan senarai pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan PEMERKASA Plus boleh dibuat melalui pautan http://www.lpkpsabah.gov.my/pemerkasa.

“Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib pemandu pengangkutan awam di Sabah…

“Jumlah keseluruhan sebanyak RM3.24 juta yang diperuntukkan menerusi PEMERKASA Plus kepada golongan ini menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau berharap agar bantuan daripada kerajaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu yang terlibat sepanjang tempoh pandemik ini.

“Suka juga diingatkan agar semua pemandu pengangkutan awam di Sabah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini,” ulasnya.