Bekalan Elektrik Ke Pantai Timur Sabah Terjamin Dengan Menara ERS – SESB

Bekalan Elektrik Ke Pantai Timur Sabah Terjamin Dengan Menara ERS – SESB

0
SHARE
Sesb
Struktur utama sebuah menara yang terjejas ( Sumber Foto: Ihsan SESB )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sedang melaksanakan kerja-kerja kecemasan bagi membaiki dua buah menara penghantaran di Ranau.

Hasil pemeriksaan di tapak baru-baru ini mendapati bahawa terdapat dua lokasi di mana berlaku mendapan serta pergerakan tanah yang aktif di sekitar tapak menara talian penghantaran 275kV dan keadaan ini telah menjejaskan kestabilan struktur utama menara berkenaan.

Keadaan kedua-dua menara ini amat kritikal kepada talian penghantaran Grid 275kV Kolopis – Segaliud kerana kapasiti tenaga sekitar 200MW perlu disalurkan ke Pantai Timur Sabah setiap hari daripada Pantai Barat Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar berkata SESB telah mengambil tindakan pantas untuk memasang menara pengalihan sementara iaitu Emergency Restoration System (ERS) di tapak dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan Negeri Sabah.

“Sebanyak lapan buah menara ERS akan dipasang di kedua-dua lokasi ini bagi memastikan bekalan tenaga ke Pantai Timur Sabah tidak terjejas.

“Kerja-kerja pengalihan telah bermula pada 7 Februari 2024 dan dijangka akan dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh lima minggu,” katanya.