Bekas Ahli PCS Yang Keluar Parti Dipelawa Sertai PBRS – Joseph Kurup

Bekas Ahli PCS Yang Keluar Parti Dipelawa Sertai PBRS – Joseph Kurup

0
SHARE
Tan Sri Joseph Kurup...

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup mempelawa bekas-bekas ahli Parti Cinta Sabah (PCS) yang keluar beramai-ramai kelmarin untuk menyertainya.

Beliau berkata jemputan tersebut terbuka kepada tokoh pemimpin politik, bekas ketua bahagian serta ahli biasa.

“Ayuh bersama dalam usaha menyatupadukan dan memajukan rakyat khususnya semua lapisan generasi kaum Kadazan, Dusun dan Murut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Joseph berkata Parti PBRS merupakan satu-satunya parti tempatan dalam komponen Barisan Nasional (BN) hari ini.

“Kami yakin dan percaya bahawa dalam BN kita akan terus maju kehadapan kearah kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan Negara,” tambahnya.

Kelmarin, Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan langkah keluar parti oleh pimpinan ahli tertinggi kerana khuatir tidak mendapat jawatan penting selepas rombakan yang dijadualkan berlaku pada tempoh terdekat.

Datuk Seri Anifah Aman…

Dalam sebuah kenyataan kelmarin, beliau berkata itu sebagai “lumrah politik” dan “hak mereka untuk membawa haluan masing-masing di kancah politik negara”.

“Namun, saya tegaskan di sini, PCS tetap berdiri utuh memperjuangkan hak Sabah terutama berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak rakyat,” katanya.