KUALA NERUS, TERENGGANU – Hidup mereka terasing jauh dari masyarakat, pergerakan pula sangat terbatas dan sentiasa diperhatikan setiap masa.
Namun ia bukanlah alasan untuk 84 bekas penagih dadah yang sedang menjalani rawatan pemulihan di Pondok Remaja Inabah di sini, menolak suntikan vaksin COVID-19.
Pengetua pusat rawatan tersebut Shah Amirudin Mohd Usman yang dipetik Bernama berkata, kesemua mereka memahami kepentingan vaksin dan sedia menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.
“Kami daftarkan kesemua 84 nama penghuni di aplikasi MySejahtera menggunakan nombor telefon yang sama. Namun, agak sukar untuk kami bawa mereka pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan, kerana tiada kenderaan sesuai.
“Selain itu bimbang juga risiko untuk mereka melarikan diri sekiranya dibawa keluar tanpa kawalan yang ketat, kerana masih ada penghuni yang ‘nakal’.
“Mujurlah PPV Integrasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) prihatin dengan kekangan yang kami hadapi, dan mereka menawarkan khidmat untuk proses vaksinasi dilakukan di pusat rawatan ini, demi keselesaan semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Pusat rawatan pemulihan milik persendirian itu yang terletak di Kampung Sungai Ikan di sini, telah beroperasi sejak tahun 1989 dan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, berikutan kejayaan cemerlang dalam membebaskan penghuninya dari pengaruh dadah.
Beberapa penghuni yang ditemui pemberita pula mengakui, mereka bersetuju untuk menerima vaksin itu kerana faham ia adalah perlindungan terbaik daripada pandemik COVID-19, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Seorang pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Zack berkata, sijil digital vaksinasi bukanlah ‘tiket’ untuk mereka menikmati kebebasan seperti insan lain, kerana terikat dengan peraturan di pusat rawatan pemulihan ketika ini.
“Kami tidak boleh makan di kedai, pergi melancong atau rentas daerah dan negeri. Namun itu bukan tujuan utama, yang penting adalah ingin menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya yang sudah tujuh bulan menerima rawatan di pusat pemulihan itu.
Muhammad Afzan Mohamed, 41, yang menerima rawatan di pusat itu sejak tahun 2012 dan kini diserap menjadi kakitangan di bahagian pentadbiran, sekali gus membimbing penghuni yang lain berkata, vaksin yang diperolehi pasti bermanfaat kepada penghuni pusat itu sekiranya berurusan dengan pihak tertentu kelak.
“Contohnya, apabila sudah habis rawatan dan ingin memohon kerja dengan majikan baharu, pasti ada syarat yang ditetapkan ialah lengkap vaksinasi….sebab itu, saya beri penerangan kepada semua penghuni agar bersetuju dengan saranan kerajaan demi kebaikan diri sendiri.
“Ia usaha kecil untuk menyumbang kepada imuniti kelompok dan pastikan negara pulih seperti biasa secepat mungkin,” katanya.