SEOUL, KOREA – Peminat Moon Bin seluruh dunia dikejutan dengan kematian bintang K-pop berusia 25 tahun itu yang juga seorang ahli kumpulan penyanyi lelaki Astro.
Label muziknya, Fantagio, mengesahkan kematiannya semalam dengan berkata Moon Bin telah “tiba-tiba meninggalkan kita dan menjadi bintang di langit”.
“Semua ahli Astro, rakan sekerja Fantagio, eksekutif dan pekerja yang telah lama bersama sangat meratapi arwah dalam kesedihan dan kejutan yang begitu besar.
“Moon Bin sebelum ini sentiasa menyayangi dan memikirkan peminat lebih daripada orang lain,” kata label muzik itu.
Bintang Korea itu ditemui mati di rumahnya di Selatan Seoul oleh pengurusnya sekitar jam 8.10 malam Rabu menurut laporan Balai Polis Gangnam.
Polis Gangnam berkata bahawa pihak berkuasa percaya Moon Bin telah mengambil nyawanya sendiri.
“Tiada tanda-tanda jenayah ditemui berkaitan kes ini,” katanya.
Media sosial dipenuhi dengan ucapan takziah peminat yang menyatakan kekecewaan mereka atas kematian selebriti itu.
Moon Bin dikatakan menghadapi tekanan yang sering dihadapi oleh selebriti dalam industri hiburan Korea yang kompetitif.
Hashtag #moonbin di Twitter menjadi popular di seluruh dunia dengan lebih 2.6 juta ‘tweet’. Beberapa siaran ditulis dalam bahasa Inggeris, Sepanyol, Indonesia, Tagalog dan Thai.
Sementara itu, video media sosial menunjukkan peminat di Chile menyediakan tugu peringatan untuk Moon Bin serta melapik sebuah dinding dengan belon putih dan ungu iaitu warna tema Astro.
Seorang peminat yang mengulas pada video yang dikongsi di Twitter berkata: “Rehat dengan tenang Moonbin… Anda telah memberikan kata-kata yang membawa kegembiraan untuk orang lain.
“Sepatutnya kamu membuka mulut tentang kesakitan yang kamu sendiri lalui, berehatlah di sana,” katanya.
MTV Asia berkata Moon Bin seperti bintang di langit sekarang dan mengawasi orang yang beliau sayangi.
“Hati dan fikiran kami tertuju kepada orang yang disayanginya dan semua AROHA (peminat Astro),” katanya.
“Kami kehilangan cahaya terang, yang benar-benar menyumbang kepada kehidupan keluarganya dan rakan-rakannya serta peminatnya dan cahaya terang itu hilang,” kata CedarBough Saeji, penolong profesor Pengajian Korea dan Asia Timur di Universiti Nasional Pusan.
Saeji, seorang yang mengaku peminat Moon Bin, berkata di tengah-tengah perbincangan mengenai tekanan masyarakat Korea dan industri selebritinya, ia juga penting untuk mengingati pencapaian bintang muda itu.
“Moonbin adalah seorang penari dan penyanyi yang berbakat luar biasa. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia mula menulis beberapa bahan untuk Astro juga.
“Dia juga pernah berlakon dalam sekumpulan drama web yang agak popular. Sebenarnya tiada had sejauh mana dia boleh pergi jika dia meneruskan kerjayanya dan terus matang sebagai penghibur,” kata Saeji.





