MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, mengingatkan rakyat Melaka agar tidak tersalah pilih parti dalam PRN Melaka kali ini.
Katanya, Barisan Nasional (BN) dan komponen UMNO telah terbukti mampu mentadbir negara dengan kestabilan politik serta mengurus ekonomi negara semasa pemerintahannya.
Menurut Bung semua ini dapat dilakukan dengan baik kerana Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang memiliki organisasi lengkap yang tidak dimiliki oleh mana-mana parti lain.
“Kita tahu mereka (parti-parti lain) berusaha meniru cara pentadbiran BN dan UMNO namun setelah mereka mentadbir negara, berlaku kekerapan pertukaran kerajaan dalam tempoh yang singkat…
“Mereka gagal mengemudi pentadbiran kerajaan ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau telah menghadiri majlis sarapan pagi bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Dato Sri Ismail Sabri Yaakob di kampung Alai yang terletak dalam kawasan DUN Telok Mas pagi kelmarin.

Hadir sama calon BN bagi DUN Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, BN tewas pada PRU-14 disebabkan oleh presepsi dan fitnah yang dilontarkan oleh parti lawan kepada BN .
“Hari ini perbuatan memfitnah dan melabel pemimpin BN UMNO dengan pelbagai gelaran masih berleluasa terutamanya di media sosial…
“Lebih malang ianya datang dari pemimpin utama parti berkenaan, jadi UMNO biarkan sahaja perbuatan mereka kerana rakyat lebih bijak menilainya,” katanya.
Katanya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini satu cabaran terutamanya tanpa sebarang ‘walkabout’ dan kempen rumah ke rumah.
Bagaimanapun katanya, pengalaman BN menghadapi beberapa siri PRN sebelum ini selain mempunyai struktur parti yang lengkap tidak menghadapi sebarang kesukaran.
Beliau berkata kempen akan diteruskan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Jentera kita kena agresif menjalankan kempen menjelaskan kepada pengundi kenapa berlakunya PRN kali ini serta hala tuju BN dan UMNO jika diberikan peluang mentadbir negara khususnya Melaka dalam menjaga kestabilan politik dan memulihkan ekonomi negara dan rakyat terpelihara,” katanya.
Apabila diajukan pertanyaan agar kelonggaran diberikan kepada calon-calon BN untuk mengadakan ceramah politik, Bung berpendapat ianya perlu diberikan pertimbangan bagi membolehkan setiap calon menjelaskan hala tuju masing-masing kepada pengundi apabila mereka dipilih.





