KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew menegaskan agar orang awam agar jangan terlalu mudah percaya khabar angin yang disebarkan pada laman media sosial.
Beliau berkata demikian dalam mengulas mesej tular di WhatsApp baru-baru ini yang mengimplikasikan seorang Pegawai Kanan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dikatakan kerap “melancong” dan “berfoya-foya menggunakan perbelanjaan besar yang ketara”.
Mesej itu mendakwa pegawai kanan terbabit merupakan saudara kepada mantan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.
Jafry dipecat dari kabinet selepas terlibat dalam cubaan menggulingkan kerajaan pada awal tahun ini dalam langkah diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Mesej itu juga menyatakan tindakan boros pegawai kanan terbabit juga semakin disedari orang ramai dan menerbitkan isu persepsi dalam STB.
“Christina sepatutnya lebih teliti terhadap pergerakan akaun dan operasi STB kerana cukai rakyat bukan untuk dihabiskan agensi-agensi kerajaan demi keuntungan sendiri,” katanya.
Walau bagaimanapun, Christina berkata pihaknya akan menjalankan siasatan namun ianya tidak adil jika orang ramai mengambil khabar angin sebagai fakta.
“Kita tidak boleh percaya segalanya yang tular. Saya mencadangkan individu di sebalik mesej itu untuk membuat aduan rasmi kepada pihak kementerian, baru kita boleh pertimbangkan,” katanya.