Dapatkan Rawatan Segera Sekiranya Ada Tanda Awal Kanser – Joachim

Dapatkan Rawatan Segera Sekiranya Ada Tanda Awal Kanser – Joachim

0
SHARE
Datuk Dr. Joachim...

KUNDASANG, SABAH – Seramai 70 peserta telah menyertai Program Kesedaran Kanser anjuran Biro Wanita Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) dengan kerjasama JPKK Kampung Siba yang diadakan di Dewan Kg. Siba, Bundu Tuhan, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berterima kasih kepada persatuan sukarelawan ini kerana menganjurkan program ini serta sudi memberikan ceramah mengenai penyakit kanser umpamanya kanser payudara, serviks, ovari dan lain-lain.

“Terima kasih kepada Presiden PSKS, Lawrence Imui kerana menghantar pasukan sukarelawan untuk menjayakan program…

“Saya yakin program ini juga dapat memberikan kesedaran dan pendedahan kepada orang ramai mengenai cara-cara pencegahan kanser serta garis panduan meneruskan kehidupan sekiranya menghidap kanser,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan program itu.

Dr. Joachim berkata, penceramahnya, Dr. Rizin Kusop adalah seorang yang berkelayakan serta berpengalaman dalam bidang perubatan.

“Sehubungan itu, saya memohon semua yang hadir dapat memanfaatkan semua maklumat yang diberikan. Pencegahan adalah lebih baik dari mengubati. 

“Silalah dapatkan rawatan segera kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda awal menghidap kanser…

“Ada juga antara mereka yang menghidap kanser payudara masih hidup sehingga kini,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian.

Turut hadir menjayakan program itu ialah Pengerusi dan Setiausaha Biro Wanita PSKS, Rufina Koting dan Labidah Ewit; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Kundasang, Dounis Sani; Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Siba, Bundu Tuhan, Hillary Piul; Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), Ketua-ketua kampung, dan Ahli Majlis Tertinggi PSKS.

Sementara itu, Biro Wanita PSKS mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA), Sabah di atas tajaan yang diberikan untuk mengadakan program ini.