KOTA KINABALU, SABAH – Deretan individu yang terdiri daripada golongan warga emas menarik perhatian seketika buat pengunjung Kampung Air di pusat bandar sini, hari ini.
Hasil temu ramah bersama wartawan SabahNews mendapati para infdividu lelaki berkenaan sedang menunggu makanan yang diberikan secara percuma daripada kedai runcit yang terletak di penjuru bangunan.
Idic Samuri, 65, yang menetap dalam sebuah bilik sewa di Bandaran Berjaya bersama beberapa anaknya berkata kemurahan hati kedai itu disedarinya sebulan lalu.
“Masa itu kebetulan saya keluar mencari nafkah untuk menampung keluarga dan melihat ramai orang sebaya sedang beratur…
“Dahulu bila sampai ke negara ini pada tahun 1973 saya berumur 13 tahun dan semasa itu saya masih kuat. Saya bekerja rencam sehinggalah tidak mampu lagi,” kata warganegara Filipina itu.
Katanya, isterinya telah kembali ke negara asal sementara LIMA (5) daripada SEMIBILAN (9) orang anaknya yang dilahirkan di Sabah sudah meninggal dunia sebelum ini.
Seorang lagi, berumur 79 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Chin turut mendapat tahu akan bantuan makanan itu ketika bersiar di pusat bandar.
“Sekarang saya tidak dapat bekerja lagi dan tidak mahu menyusahkan keluarga di rumah…
“Dahulu saya bekerja sebagai penjual bahan mentah di Pasar Awam Kota Kinabalu. Saya ke sini selang hari jika sudah cukup mengumpul duit bagi tambang bas dari Likas,” katanya.
Kebanyakkan daripada mereka yang menjangkau umur 60 tahun mengaku bahawa mereka bosan dan ingin bersosial dengan kalangan mereka.
Seorang lelaki 60 tahun yang enggan dinamakan berkata kadang-kadang dia berjalan kaki dari Tanjung Aru bagi mengelakkan kebosanan yang hanya menimbulkan kegelisahan berkaitan hal kewangan beliau.
“Dahulu saya berkecimpung dengan rakan-rakan yang tidak baik. Semua saya sudah buat semasa bekerja sebagai “Ah Long” pada watu muda dulu…
“Kerajaan memberikan bantuan tapi jelasnya tidak cukup bagi menampung perbelanjaan bulanan saya lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sebegini.
“Saya turut risau semakin hari semakin ramai peminta sedekah datang ke sini dan berbaris.
“Saya rasa tidak lama lagi pihak Dewan Bandaraya akan mengeluarkan kompaun kepada kami, atau lebih teruk kepada kedai yang memberi kami makan,” katanya.
Seorang lagi warga emas yang enggan dinamakan berkata kehidupannya dari seorang budak hingusan membanting tulang sebagai konduktor bas tamat dengan ketibaan virus COVID-19.
“Tapi saya masih mampu bekerja,” katanya dengan senyuman disebalik pelitup muka yang ketara dengan kedutan pada tepi mata beliau yang diukir kasar matahari.
“Dari terminal bas masih berada di belakang Center Point, sehingga ia berpindah ke Wawasan Plaza dan sekarang sudah berbelah sekitar pusat bandar…
“Saya cuba beroperasi di terimal bas Penampang namun nampaknya tiada lagi ruang pekerjaan bagi seorang konduktor dengan penumpang bas awam yang semakin berkurangan.
“Makanan yang diberikan sedap dan halal. Saya bersyukur dengan tuan kedai yang sanggup membantu sesama umat manusia yang dalam kesusahan,” katanya.
Pemilik kedai meskipun enggan ditemu ramah akan datang dengan membawa bekalan nasi campur pada setiap tengah hari dan telah membuat sedemikian sejak bulan lalu.