Empat Ahli Parlimen Sabah Dakwa Ahli Secara Individu Dalam GRS, Miliki Keahlian...

Empat Ahli Parlimen Sabah Dakwa Ahli Secara Individu Dalam GRS, Miliki Keahlian Dalam BERSATU

0
SHARE
Datuk Azmizan Mohd Ali...

KOTA KINABALU, SABAH – EMPAT (4) orang Ahli Parlimen Sabah yang dilanda kontroversi berkaitan lompat parti mendakwa diri merupakan ahli secara individu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disamping mempunyai keahlian dalam BERSATU.

Memetik sumber Berita Harian, kedudukan terbabit dijelaskan wakil dari empat Ahli Parlimen terbabit iaitu Ahli Parlimen Papar,
Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurutnya, beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen Papar telah memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket GRS seterusnya menjadi ahli secara individu dalam GRS dan BERSATU.

Mengulas lanjut mengenai perlembagaan GRS, dinyatakan keahlian yang diterima dalam gabungan itu bukan saja daripada parti atau persatuan, malah daripada individu yang disebut sebagai keahlian terus.

“Berhubung status kami sebagai Ahli Parlimen yang mewakili GRS, berikutan ada spekulasi mengenai status GRS, saya fikir perlu juga mereka semak undang-undang tubuh GRS…

“Saya sendiri terlibat membuat draf perlembagaan GRS, jadi saya amat tahu. Ia bukan saja gabungan persatuan tetapi ia adalah parti yang bersifat individu dan persatuan parti politik.

“Bermaksud dari segi keahlian ada dua kategori, pertama individu dan kedua parti politik. Dalam GRS juga ada keahlian individu dan saya dari awal lagi menjadi ahli secara keahlian terus dan bertanding pada PRU lalu atas tiket GRS,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan sekiranya akan keluar dari BERSATU, Armizan menjelaskan pihaknya belum sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

Katanya, ini kerana selepas pengumuman oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, mengenai keluar BERSATU baru-baru ini, tindakan perlu disusuli di peringkat bahagian untuk membuat perkara sama.

“Di pihak saya belum ada keputusan mohon keluar BERSATU, tapi saya jelaskan bahawa saya bertanding PRU lalu sebagai ahli GRS dan menggunakan logo GRS,” katanya.

Sementara itu, beliau yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu juga berkata tindakan kepimpinan BERSATU keluar parti berkait rapat dengan keputusan GRS untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) tidak setuju dengan Kerajaan Perpaduan jadi tidak wujud persefahaman di situ. Saya juga lihat punca utama berlaku keadaan ini apabila GRS membuat pendirian untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan…

“Kita tidak menyertai mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan itu tapi kita bersama membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dititah Yang di-Pertuan Agong kerana tiada parti mendapat majoriti membentuk kerajaan.

“Jadi formulanya dengan melibatkan semua parti membentuk Kerajaan Perpaduan. Ada yang setuju dan ada tidak. Di pihak GRS, kita mengambil kira keputusan PRU lalu dan titah Yang di-Pertuan Agong atas kepentingan untuk menubuhkan kerajaan dan paling penting untuk kepentingan Sabah sendiri,” katanya.

Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang)…

Selain Armizan, tiga lagi Ahli Parlimen BERSATU yang terbabit dalam kontroversi itu adalah Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.