FAA Arahkan Beberapa Kapal Terbang Jenis Boeing 777 Jalani Pemeriksaan Lanjut

FAA Arahkan Beberapa Kapal Terbang Jenis Boeing 777 Jalani Pemeriksaan Lanjut

0
SHARE
Enjin sebuah pesawat syarikat penerbangan United Airlines (Boeing 777-200) sedang terbakar ketika dalam penerbangan berdekatan Denver, Colorado, kelmarin...(Sumber foto ihsan daripada pengguna Instagram)

WASHINGTON – Beberapa kapal terbang penumpang jenis Boeing 777 menjalani pemeriksaan lanjut selepas menerima arahan daripada pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) semalam.

Menurut FAA, perkara itu susulan daripada kejadian sebuah pesawat syarikat penerbangan United Airlines yang mengalami kerosakan enjin, kelmarin, yang menyaksikan serpihannya jatuh berselerakan merentasi sebuah kawasan di Colorado.

Pentadbir FAA, Steve Dickson, berkata arahan itu bermakna beberapa kapal terbang Boeing 777 dilihat berkemungkinan akan dikeluarkan daripada perkhidmatan.

Beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pasukan pakar keselamatan penerbangan selepas sebuah pesawat Boeing 777 mengalami masalah kerosakan enjin sejurus berlepas dari Denver menuju ke Honolulu.

Sebahagian serpihan terjatuh dari pesawat ditemui di sebuah kawasan penempatan di Broomfield, Colorado…(Sumber Foto: AFP)

“Saya telah mengarahkan mereka untuk mengeluarkan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan di mana pemeriksaan lanjut atau serta-merta perlu dilakukan terhadap kapal terbang Boeing 777 dilengkapi enjin Pratt & Whitney PW4000 yang tertentu,” katanya dalam satu kenyataan melalui Twitter.

Menurut kenyataan yang dipetik AFP, pesawat itu yang membawa 231 penumpang bersama 10 anak kapal, menunjukkan enjin sebelah kanan sedang terbakar dan tergoyang-goyang pada sayap Boeing 777-200, manakala penutupnya tercabut ketika kapal terbang terbabit patah balik ke Lapangan Terbang Denver.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan, tiada kecederaan di dalam pesawat mahupun di atas tanah dilaporkan akibat kejadian itu.

Juruterbang berjaya mendaratkan pesawat itu dengan selamat di Denver.

Dickson berkata, kajian semula peringkat awal terhadap data keselamatan mendapati pemeriksaan lanjut perlu dilakukan ke atas bilah kipas enjin kapal terbang berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kami membuat rumusan bahawa pemeriksaan selang waktu harus ditingkatkan terhadap bilah kipas berongga unik dalam model enjin terbabit yang hanya digunakan pesawat Boeing 777,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pegawai FAA sudah mengadakan mesyuarat dengan wakil daripada Pratt & Whitney dan Boeing, petang semalam.

Sementara itu, penduduk Broomfield yang terletak di pinggir bandar Denver, menemui serpihan terjatuh dari kapal terbang terbabit di sekitar kawasan penempatan mereka, termasuk sekeping logam besar di halaman sebuah kediaman.