KOTA KINABALU: Prof. Dr. Danial Arifin Mustapha daripada Pertubuhan Ikram Malaysia menegaskan Malaysia mesti terus berdiri bersama rakyat Palestin, sambil menyifatkan Global Flotilla Sumud sebagai usaha penting walaupun dihalang Israel.
Bercakap di Masjid Negeri Sabah pada Jumaat, beliau berkata isu Palestin bukan hanya soal agama, sebaliknya isu kemanusiaan sejagat.
“Kita tidak boleh membiarkan saudara kita di Gaza terus dianiaya. Mereka manusia yang berhak hidup bebas, tetapi rejim Zionis melakukan kezaliman di luar batas kemanusiaan,” katanya.
Beliau menambah, walaupun flotilla dihalang, ia tetap berjaya menyedarkan dunia.
“Gerakan ini disertai pelbagai pihak, termasuk ahli parlimen Eropah dan aktivis Nusantara. Ia membuktikan dunia menolak ketidakadilan,” jelasnya.
Danial turut menggesa rakyat Malaysia memahami sejarah Palestin, termasuk bagaimana sejak 1948 rakyat asal terusir daripada tanah air mereka.
“Saya hormati pandangan berbeza, tetapi rakyat mesti tahu sejarah. Ini soal penjajahan dan hak sebuah bangsa untuk hidup di tanahnya sendiri,” katanya.
Beliau menutup dengan seruan agar solidariti diteruskan.
“Tugas kita bukan sekadar membantah, tetapi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Gaza.
“Dengan sokongan dan doa, kita harap Palestin akhirnya merdeka,” ujarnya.






