Gagal Bendung Penularan Wabak COVID-19, Lebih 100 Orang Pegawai Di Tibet Dipecat

Gagal Bendung Penularan Wabak COVID-19, Lebih 100 Orang Pegawai Di Tibet Dipecat

0
SHARE

TIBET – Lebih 100 orang pegawai di Tibet dipecat atau diberikan amaran bulan ini kerana gagal membendung penularan wabak COVID-19, lapor SCMP.

Tibet menyumbang hampir 500 kes baharu COVID-19 daripada hampir 1,300 kes yang dilaporkan di China semalam, dengan negeri jirannya, Xinjiang dan pulau selatan Hainan menjadi lokasi utama penularan wabak berkenaan.

Memetik laporan BH, walaupun jumlah kes mungkin tidak tinggi berbanding yang direkodkan di negara lain, jumlah berkenaan dianggap sebagai penularan besar-besaran di bawah dasar ketat sifar COVID-19 di China yang bertujuan mengekang penularan jangkitan tempatan.

Ia termasuk melalui langkah pantas dengan penutupan segera lokasi terjejas, ujian saringan COVID-19 besar-besaran, pengesanan kontak rapat secara meluas dan perintah kuarantin.

Menurut laporan Tibet Daily, 22 pegawai di ibu kota wilayah Lhasa dikenakan tindakan tatatertib minggu lalu kerana cuai dalam aspek kawalan wabak COVID-19.

Lima daripada mereka dipecat dan selebihnya diberikan amaran keras, lapor akhbar itu, yang memetik kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Di Xigaze, bandar yang terletak di barat daya Tibet, yang mana wabak itu bermula, 77 orang pegawai berdepan tindakan tatatertib bulan ini kerana mengabaikan tugas dalam memerangi COVID-19.

Daripada jumlah itu, 10 daripada mereka diberhentikan. Di Hainan, iaitu lokasi percutian popular yang menyaksikan penutupan serta-merta, selain penggantungan kereta api dan penerbangan menyebabkan puluhan ribu pengunjung terkandas awal bulan ini, suruhanjaya tatatertib parti mengambil tindakan disiplin terhadap enam pegawainya.

Mereka termasuk Gu Hao, ketua parti daerah Jiyang, di bandar peranginan tepi pantai Sanya, yang dipecat pada 16 Ogos lalu.

Kenyataan rasmi dari Tibet dan Hainan memaklumkan pegawai berkenaan dihukum kerana ‘kelemahan dalam pendirian politik’, ‘pelaksanaan kerja pencegahan dan kawalan pandemik yang tidak mencukupi’ dan ‘birokrasi yang serius, formalisme, pelaksanaan tugas yang tidak berkesan dan pengabaian tugas’.

Menurut Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura bagi Sekolah Lee Kuan Yew bagi Dasar Awam (LKYSPP), Alfred Wu, langkah bersifat keras itu menunjukkan dasar sifar COVID-19 masih menjadi perkara utama dalam agenda politik China menjelang kongres parti tahun ini, walaupun kerajaan telah mengurangkan syarat kemasukan ke negara itu, dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.