LUMADAN, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk membangunkan Sabah sekiranya mempunyai ramai wakil rakyat di Parlimen, kata calon GRS Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Beliau berkata manifesto GRS Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilancarkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Selasa membuktikan gabungan itu memahami aspirasi rakyat.
Katannya, jika diberi peluang dalam PRU15 kali ini, sudah tentu perkara yang digariskan dalam manifesto itu dapat dilaksana, sekaligus memberi manfaat bukan sahaja kepada pembangunan negeri tetapi juga seluruh lapisan rakyat.
“Ayuh kita bulatkan tekad dan turun mengundi beramai-ramai pada 19 November ini dengan mengundi calon-calon Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN)…
“Memang banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk rakyat dan Sabah khususnya. Menerusi Manifesto GRS PRU15 yang dilancarkan oleh Hajiji petang tadi maka jelaslah sudah aspirasi rakyat kita beri tumpuan.
“Mudahan calon GRS-BN memenangi kerusi-kerusi Parlimen di Sabah bagi memastikan apa jua pembangunan yang diperlukan dapat disuarakan ke saluran-saluran seperti kementerian dan agensi kerajaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukau, di sini.
Mengenai permohonan beberapa penduduk berkaitan isu sekolah dan klinik komuniti, Matbali berkata cadangan yang dibangkitkan itu akan dipertimbangkan.
Walaupun tiada kata putus dapat dimuktamadkan serta-merta, namun beliau akan berusaha sebaiknya dan lebih meyakinkan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, perkara itu sudah tentu akan menjadi sebahagian keutamaan.