
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lirik terkenal, Hael Husaini melancarkan album sulung pertamanya Antonim Part I yang menghimpunkan kisah suka dukanya dalam dunia seni selama 17 tahun.
Antonim Part I memuatkan enam buah karya hasil nukilan barisan komposer ternama seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Hael sendiri sudah pun berada di pasaran sejak 5 Januari lepas.
“Saya sangat teruja kerana tidak pernah merasai pengalaman sebegini, seluruh pasukan kerja dan label juga terkejut dengan sambutan luar biasa dari pendengar.
“Saya sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan saya yang setia dan sentiasa bertungkus-lumus dalam menjadikan album ini sebuah kenyataan.
“Terima kasih buat Encik Prem, kesemua wakil muzik dari label saya, penulis serta juga penerbit, wakil pegawai seranta saya, pihak pengurusan Virus Unggu Entertainment, rakan-rakan media, keluarga yang menyokong, dan terutamanya peminat semua, Haelers,” ujar Hael.
Album yang memakan masa selama tiga tahun untuk disiapkan ini telah melalui beberapa proses dimana antaranya pemilihan agu yang telah disenarai pendekkan dari lebih kurang 20 buah lagu.
Di antara lagu-lagu yang terkandung dalam album ini adalah Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).
Hael dalam pada itu berkata beliau menjadikan Album Antonim Part I ini sebagai medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering dilakukannya sebelum ini.
“Namun keseluruhan lagu yang terkandung di dalam album masih lagi berkonsepkan pop dengan nuansa balada serta rock.
“Manakala untuk album kedua pula, Antonim Part II, saya jangkakan akan ada lebih banyak lagi kejutan buat penggemar muzik saya kerana pelbagai pembaharuan yang diketengahkan.
“Saya berharap agar semua dapat menerima karya-karya saya dalam kedua-dua album ini, semoga pendengar dan penggemar muzik tempatan berlapang dada dalam menerima pembaharuan muzik serta memberi lebih kebebasan kepada anak seni untuk terus berkarya.
“Dan siapa tahu mungkin ada di antara kita yang mampu berjaya seperti Tan Sri Michelle Yeoh, tetapi mewakili bidang muzik pula,” katanya.





