Hajiji: Rundingan Kerusi GRS–PH Kira Selesai, Hanya Tinggal Satu Dua Lagi

Hajiji: Rundingan Kerusi GRS–PH Kira Selesai, Hanya Tinggal Satu Dua Lagi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mengesahkan rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) hampir dimuktamadkan, dengan hanya satu atau dua kerusi masih dalam perbincangan.

“Jangan risau, semuanya sudah selesai termasuk jumlah kerusi. Cuma tidak boleh diumumkan terlalu awal. Kalau pun ada, mungkin tinggal satu dua kerusi sahaja. 

“Rundingan berjalan dengan baik dan penuh muafakat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Ahad.

Beliau menolak dakwaan kononnya kelewatan pengumuman itu berpunca daripada ketegangan dalaman antara GRS dan PH, sebaliknya menegaskan kerjasama antara kedua-dua pihak kekal kukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Setiap bahagian sudah ada jentera masing-masing. Ada yang telah melancarkan lebih awal di peringkat bahagian. 

“Hari ini hanya pelancaran rasmi di peringkat negeri,” jelasnya sambil menambah bahawa kekuatan jentera akar umbi GRS kini semakin mantap di semua kawasan.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya terdapat cubaan membeli calon berpotensi GRS oleh parti lain, Hajiji berkata beliau tidak mengetahui sebarang perkara sedemikian.

“Kita tidak tahu tentang itu. Kalau ada, kita akan tangani apabila tiba masanya,” katanya.

Mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang didakwa menyindir parti-parti tempatan, Hajiji enggan melayan polemik tersebut.

“Biarlah dia cakap. Orang pun sudah tahu style Bung Moktar. Saya tidak mahu komen hal begitu,” katanya ringkas.

Hajiji turut menzahirkan keyakinan terhadap kesiapsiagaan dan semangat jentera GRS menghadapi PRN akan datang, sambil memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi.

“Semua bersemangat, itu lumrah politik. Setiap parti mahu menang. Insya-Allah, kita yakin dengan kemampuan GRS untuk sekali lagi mendapat kepercayaan rakyat Sabah,” ujarnya.

Beliau dalam masa sama mengingatkan semua jentera parti supaya kekal fokus, berdisiplin dan bersatu padu demi memastikan Sabah terus ditadbir oleh kerajaan yang stabil serta berwibawa.

“Kemenangan tidak akan datang tanpa kerja keras, komitmen dan semangat berpasukan,” tegasnya.