Hajiji Sertai Solat Jenazah Mantan Speaker DUN Sabah

Hajiji Sertai Solat Jenazah Mantan Speaker DUN Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyertai solat jenazah mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Sunoh Marso di Masjid Negeri, di sini, hari ini.

Hajiji tiba kira-kira 9.50 pagi di masjid berkenaan dan menunaikan solat jenazah bersama para pemimpin negeri dan anggota keluarga Allahyarham.

Solat jenazah diimamkan Imam 3 Masjid Negeri, Ustaz Jefferddin bin Judin, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sempelang, Sembulan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Sunoh Marso pada 23 April 2021.

Katanya, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kerana beliau merupakan seorang pemimpin pada zamannya dan telah banyak menyumbang kepada negeri Sabah.

“Allahyarham pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk Speaker DUN Sabah,” katanya.

Allahyarham merupakan bapa kepada Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Effendi.

Turut hadir ialah Speaker DUN Sabah, Datuk Haji Kadzim Haji M Yahya, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif dan Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.