CANBERRA: Sebuah helikopter terhempas ke atas bumbung hotel Hilton di timur laut Australia hari ini, kata polis, yang meragut nyawa juruterbang dan mencetuskan kebakaran di bumbung bangunan itu, lapor Kosmo.
Serpihan kipas helikopter yang hancur mendarat ke dalam kolam hotel, kata seorang pegawai perkhidmatan kecemasan sambil menambah, dua individu lain dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Beratus-ratus pengunjung telah dipindahkan dari hotel DoubleTree by Hilton yang terletak di bandar utara tropika Cairns, selepas helikopter enjin berkembar itu terhempas sekitar pukul 1.50 pagi (waktu tempatan).
“Juruterbang yang merupakan penumpang tunggal pesawat itu ditemui dan diisytiharkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala siasatan forensik sedang dijalankan untuk mengenal pasti identitinya,” kata polis dalam satu kenyataan.
Beberapa imej menunjukkan kepulan api yang terang menyala di atas bumbung hotel.
Penyelia perkhidmatan Queensland Ambulans, Caitlin Denning berkata, kipas pesawat itu tercabut.
“Satu daripadanya mendarat di Cairns Esplanade, manakala kipas kedua jatuh ke dalam kolam hotel di tingkat bawah dan ia terbakar,” katanya kepada media tempatan.
“Terdapat laporan mengenai bunyi seperti bom dan orang ramai turut melihat kebakaran serta asap,” tambah Denning.
Kebakaran di bumbung bagaimanapun berjaya dipadamkan pada lewat pagi.