TAMPARULI, SABAH – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sebelum seseorang kanak-kanak itu cenderung untuk belajar menguasai bahasa lain, bahasa ibunda wajar memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakatnya supaya mereka dapat membesar dalam suasana di mana bahasa itu sering didengari dan dituturkan.
“Bahasa ibunda penting dipelajari anak-anak, agar identiti mereka terpelihara dan bahasa kita tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyambut rombongan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Daerah Kota Marudu di Tadika Ceria Kadazandusun Tiong Monggis, dekat sini pada Khamis.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.
Katanya, ibu bapa berperanan penting untuk mengajar anak mereka bahasa ibunda sejak kecil, selain mendedahkan mereka dengan pengetahuan yang lain.
“Peranan tenaga pengajar juga penting, untuk menjadikan pembelajaran lebih seronok dan relevan, serta kunci dalam membantu para pelajar menjadikan bahasa ibunda, sebagai salah satu bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya yang juga Naib Presiden KDCA, merangkap Penyelaras KDCA Tamparuli.
Sementara itu, Setiausaha KDCA Daerah Kota Marudu, Junid Gunsalam, berkata, lawatan sambil belajar itu diadakan untuk mengetahui tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kelas bahasa Kadazan Dusun di Tadika Ceria Tiong Monggis mengikut modul dan sukatan pelajaran yang ditetapkan.

Menurutnya, KDCA daerah Kota Marudu bercadang untuk membuka kelas pembelajaran bahasa Kadazan Dusun di daerah tersebut.
“Justeru kelas bahasa ibunda di Tiong Monggis ini akan kami jadikan sebagai salah satu panduan ke arah itu,” katanya.
Terdahulu turut diadakan taklimat ringkas mengenai Tadika Ceria Kadazandusun Tiong Monggis, yang disampaikan oleh Guru Besar, Zandi Crispaniella dan dibantu dua tenaga pengajar di sekolah tersebut.





