JABATAN KEHAKIMAN MAHKAMAH ANAK NEGERI SABAH DITUBUHKAN TAHUN INI: KM HAJIJI

JABATAN KEHAKIMAN MAHKAMAH ANAK NEGERI SABAH DITUBUHKAN TAHUN INI: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TUARAN, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri komited dalam menjayakan cadangan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah, pada tahun ini.

“Cadangan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah ini juga adalah satu transformasi yang memartabatkan undang-undang adat Anak Negeri sekaligus memberikan imej yang berprestij dan berkaliber kepada Ketua-ketua adat di mahkamah,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri amat menitikberatkan kepentingan pemerkasaan Mahkamah Anak Negeri.

“Sebuah jawatankuasa khas melalui Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) juga telah ditubuhkan bagi penggubalan, pindaan dan penyemakkan enakmen dan ordinan yang berkaitan.

“Hal ini adalah bagi menaiktaraf sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri yang setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” katanya di majlis perasmian penangguhan kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Adat Cemerlang di Dewan Kebudayaan Pusat Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik di sini, semalam.

Seramai 258 Ketua-ketua Adat daripada tiga Ketua Daerah, 20 Ketua Anak Negeri, 40 Wakil Ketua Anak Negeri, 194 Ketua Kampung dan seorang Ketua Masyarakat Cina mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pantai Dalit, Sulaman, Tamparuli dan Kiulu menghadiri kursus ini.

“Ketua Adat boleh memainkan peranan strategik dalam membimbing, menyokong, dan mendorong bagi pemerkasaan masyarakat tempatan. Ini membolehkan masyarakat secara keseluruhannya menyumbang kepada agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) khususnya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) kerana berjaya menganjurkan kursus ini dengan kerjasama Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Tuaran, yang merupakan satu langkah penting ke arah memastikan ketua-ketua adat dilengkapi dengan pengetahuan dan kefahaman untuk menghadapi cabaran baharu.

“Ini turut membantu memastikan Undang undang Adat Anak Negeri sentiasa dipatuhi
dan dihormati.

“Saya berharap semua ketua-ketua adat yang menghadiri kursus ini supaya
mempraktikkan segala dapatan ilmu pengetahuan sebagai landasan memantapkan adat di tempat masing-masing.

“Peranan ketua-ketua adat dan ketua kampung kini semakin mencabar sekali gus
memerlukan kebijaksanaan memimpin bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni,
aman dan bersatu padu.

“Saya berharap hasil daripada kursus ini, Mahkamah Anak Negeri Tuaran, Kiulu dan
Tamparuli akan dijadikan sebagai penanda aras kepada Mahkamah-Mahkamah Anak Negeri yang lain di Sabah dalam melaksanakan amalan-amalan yang terbaik,” katanya.