KOTA KINABALU: Penyandang Ketua Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Jamawi Jaafar (gambar) akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan mesyuarat Agung (USIA) Ke-35 yang akan diadakan pada 24-26 Jun ini di Menara Usia 1 Borneo.
Beliau akan dicabar dalam perlawanan satu lawan satu oleh Setiausaha USIA yang juga Ketua Belia Bahagian Kota Marudu, Salleh Jatil.
Jamawi yang menjawat Ketua Belia USIA sejak tahun 2015 telah memegang jawatan tersebut selama dua penggal apabila pada pemilihan barisan tertinggi Belia USIA pada tahun 2018 beliau tidak di cabar untuk jawatan tersebut.
“Saya menghormati pencalonan dari rakan-rakan Ketua Belia Usia bahagian yang mahukan saya mempertahankan jawatan Ketua Belia Usia pada pemilihan kali ini dan insyallah kita pikul tanggungjawab yang diberikan sekiranya diberikan mandat oleh perwakilan pada pemilihan kali ini,” katanya.
Ketika diminta mengulas kegiatan-kegiatan dakwah dan kebajikan yang dilakukan Belia Usia sepanjang tahun lepas, Jamawi mengakui agak berkurangan kerana terkesan dengan penularan Pandemik COVID-19 yang melanda negara lebih dua tahun menyebabkan kegiatan dalam skala besar tidak dapat dilakukan dalam tempoh tersebut.
“Penularan pandemik COVID-19 menjadi kekangan untuk kita bergerak melaksanakan program-program yang dirancang…
“Bagaimanapun, kita masih melaksanakan kegiatan yang diselaraskan melalui Ketua-Ketua Belia Usia bahagian terutamanya kebajikan bagi membantu golongan yang terkesan dengan penuluran Virus COVID-19,” jelas Jamawi.
Menurutnya, selepas negara beralih ke era endemik, beliau berharap lebih banyak program-program dapat dilaksanakan di seluruh bahagian terutamanya mendekati golongan muda melalui program dakwah.
Menurut beliau Belia USIA perlukan meneruskan program dakwah melalui pendekatan yang dipelbagaikan agar kekal relevan menepati keperluan kelompok sasaran.
“Dalam konteks kreativiti dakwah, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan termasuk memanfaatkan media sebagai platform penyebaran dakwah yang berkesan,” katanya.
Menurut beliau, dakwah di era baharu perlu digerak melalui pelbagai bentuk program media massa seperti radio, televisyen, media cetak, media baharu seperti Facebook, aplikasi WhatsApp, Instagram, YouTube dan lain-lain.
“Perkara ini seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang memanfaatkan pelbagai aplikasi digital sebagai medium interaksi masyarakat dan ianya telah pun mulakan digerakkan oleh Belia Usia Bahagian Sandakan yang diketuai oleh Ustaz Mohamad Sufan Bahrin dan akan kita perluaskan ke lain lain bahagian,” katanya.
Tambahnya lagi, pandemik COVID-19 memberikan kesan terhadap gerakan dakwah secara fizikal dan sesuatu perlu dipelajari dari musibah ini.
“Usaha pembaharuan dakwah dalam suasana norma baharu perlu diterokai…
“Pembaharuan dakwah perlu diteruskan dan perlu bergerak ke hadapan serta berorientasikan kemajuan atau keadaan yang lebih baik dalam segala aspek.
“Pembaharuan pada hakikatnya mempunyai makna ‘al-islah ila ma huwa al aslah’ yang bermaksud pembaikan secara berterusan menuju ke arah yang lebih baik,” katanya.