PUTRAJAYA – Bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga 18 tahun digalakkan untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Tanah Suci, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, syarat yang ditetapkan KKM bagi jemaah haji remaja mengambil dos penggalak Covid-19 ialah sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.
Tindakan ini perlu bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 memandangkan risiko Jemaah haji untuk dijangkiti virus itu amat tinggi dengan mengambil kira perhimpunan yang ramai serta melibatkan jemaah haji seluruh dunia.
Khairy berkata, memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan vaksin lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu boleh diberikan dalam masa dua minggu sebelum dan selepas vaksin lain diberikan.
Ini bermakna remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan Covid-19 mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya.
Sebelum ini KKM menyarankan semua bakal jemaah haji yang berusia 60 tahun dan ke atas serta jemaah berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.





