JHL Tembak Mati Buaya Sambar Lelaki Di Lahad Datu, Mangsa Masih Dalam...

JHL Tembak Mati Buaya Sambar Lelaki Di Lahad Datu, Mangsa Masih Dalam Mulut

0
SHARE
Hpv
Jabatan Hidupan Liar Sabah berjaya menembak mati pemangsa sepanjang 15 kaki terbabit ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

LAHAD DATU, SABAH – Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) melepaskan lima das tembakan untuk membunuh seekor buaya yang telah menyambar seorang pekerja sedang memancing di Ladang Rimmer Sungai Matamba, sini, pada Khamis.

Pusat Gerakan Operasi Bomba berkata mangsa, Rusdi Tambah, 45, masih berada di dalam mulut buaya sepanjang 15 kaki terbabit dalam insiden tengah hari itu.

Katanya, panggilan kecemasan diterima melalui talian balai pada pukul 10.07 pagi.

Sepasukan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu sampai ke lokasi berjarak kira-kira 40 kilometer daripada balai pada jam 11.32 pagi.

“Pencarian seluas radius 500 meter dimulakan sepanjang laluan sungai bersama-sama orang awam.

“Buaya tersebut masih kelihatan di kawasan sungai 50 meter dari lokasi mangsa disambar, dengan keadaan mangsa berada di mulut buaya.

“Pasukan bomba memberi maklumat kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) yang melepaskan lima das tembakan kearah buaya tersebut.

“Setelah pihak JHL mengesahkan buaya tersebut mati, pasukan bomba turun mengambil mangsa yang seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata seorang jurucakap agensi.

Katanya, bangkai buaya terbabit kemudian diserahkan kepada pihak JHL dan operasi ditamatkan pada jam 1.10 tengah hari.