KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan sebuah kapal tangki yang disyaki membawa diesel tanpa kebenaran serta pelbagai kesalahan lain di kawasan perairan Teluk Sepanggar, petang Khamis.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kapal tangki itu dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam satu operasi khas sekitar jam 2.00 petang.
Kapal tangki terbabit dikendalikan empat kru termasuk nakhoda, kesemuanya warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 72 tahun.
“Pemeriksaan ke atas muatan menemukan sejumlah 170,000 liter minyak diesel yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi yang sah…
“Pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal mendapati ianya sengaja dimatikan dan menimbulkan kecurigaan kepada pasukan menggeledah.
“Pemeriksaan dokumentasi turut menemui pelbagai kesalahan lain seperti pertukaran butiran syarikat tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal, kapal beroperasi tanpa kru yang lengkap seperti di dalam Daftar Keselamatan Kapal (Safe Manning-Ship Personal),” katanya.
Katanya, nakhoda kapal, ketua jurutera dan kru kapal tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya, serta peralatan keselamatan tidak mencukupi.
“Kapal dan kru seterusnya ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Sepanggar, Kota Kinabalu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,” tambah Rosli.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Kawalan Bekalan 1961.





