Kejayaan Sahabat AIM Bukti Wanita Dan Ibu Berjaya Dalam Perniagaan: Ewon

Kejayaan Sahabat AIM Bukti Wanita Dan Ibu Berjaya Dalam Perniagaan: Ewon

0
SHARE
Ewon
Ewon sekitar perasmian Fiesta Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Kedah, di Dewan Kenangan MPSPK ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

SUNGAI PETANI, KEDAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membuktikan kaum wanita dan ibu berjaya dalam perniagaan.

Beliau berkata ini terbukti melalui kejayaan mereka meningkatkan perniagaan dan pendapatan daripada ribuan ringgit kepada puluhan ringgit sebulan.

“Walaupun perniagaan tidak besar, hanya menjual ABC atau laksa, atau perniagaan kecil-kecilan dari rumah, tetapi dengan jumlah Sahabat Usahawan AIM yang aktif seramai 327,362 orang seluruh negara, ia telah menyumbang kepada kerancakkan ekonomi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Fiesta Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Kedah, di Dewan Kenangan MPSPK, Sungai Petani, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Ahmad, Pemangku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Seri Syed Hussian Al-Junid, Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz,

Ewon berkata, penerima anugerah Sahabat Usahawan AIM memberi inspirasi dan motivasi kepada lebih 31,000 Sahabat Usahawan AIM Kedah.

Pada majlis itu Ewon menyampaikan lima anugerah iaitu Sahabat Usahawan Muda, Sahabat Ushawan Setia, Sahabat Usahawan Istimewa, Sahabat Usahwaan Dedikasi dan Sahabat Usahawan Berjaya.

Anugerah Sahabat Usahawan Muda diberikan kepada Nursyafinaz Mat Zali dari cawangan Sik.

Usahawan muda berusia 27 tahun itu mulai menyertai AIM pada Jun 2016, mengusahakan perniagaan Locking Bakar secara kecil-kecilan di gerai biasa.

Atas kesungguhan Nursyafinaz dan sokongan daripada AIM, kini beliau mampu mengushaakan restoran dengan menggunakan jenama Locking Bakar & Thai Food dengan pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan.

Penerima Anugerah Sahabat Usahawan Setia pula dimenangi oleh Zarina Bakar, 54, dari Cawangan Yan dan setia bersama AIM sejak tahun 1994.

Beliau mengusahakan perniagaan Restoran Naim Gulai Semilang di Tanjung Dawai dengan pendapatan bulanan sebanyak RM95,000.

Anugerah Sahabat Istimewa diberikan kepada Norli Hamzah, 58, dari Sungai Petani, pengusaha sos ikan bakar jenama 3R dan telah menyertai AIM sejak Disember 2016.

Anugerah Sahabat Dedikasi diberikan kepada Siti Hajar Mydin, 57, dari Cawangan Pokok Sena.

Beliau merupakan pengusaha jahitan telekung menggunakan jenama Telekung Imza, mulai mengusahakan perniagaan itu secara kecil-kecilan di rumah dan kini mempunyai kilang dan pekerja sendiri.

Selain itu Siti Hajar juga mengendalikan Pusat Transformasi Jahitan yang membuka kelas jahitan kepada masyarakat setempat dan istimewanya diberikan secara percuma kepada Sahabat Usahawan AIM.

Penerima Anugerah Sahabat Usahawan Berjaya pula diberikan kepada Che Non Ahmad, 53 dari cawangan Kota Setar.

Usahawan AIM itu mengusahakan perniagaan ketupat frozen dengan jenama Ketupat Hutan Kampung dengan pendapatan bulanan sebanyak RM30,000.