ISKANDAR PUTERI, JOHOR – Kerajaan sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dengan dua negara iaitu Thailand dan Kemboja seawal pertengahan bulan ini.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu sedang dibincangkan khususnya selepas kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke kedua-dua negara itu, baru-baru ini.
“Selaku Menteri Pengangkutan, saya umumkan jemaah Kabinet memang sudah membincangkan hasil lawatan Perdana Menteri ke dua-dua negara itu dan mereka sudah setuju untuk VTL (udara) dilaksanakan…
“Sekarang perbincangan sedang dibuat untuk menentukan penerbangan dan laluan mana yang digunakan untuk melaksanakan inisiatif berkenaan,” katanya dalam satu sidang akhbar semalam.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon.
Tambah Ka Siong, pelaksanaan VTL udara dengan kedua-dua negara itu kelak mengguna pakai model yang sama melibatkan pelaksanaan VTL udara antara Singapura dan Kuala Lumpur sebelum ini.
“Kedua-dua negara itu juga sudah maklumkan mereka tidak akan laksanakan kuarantin, tetapi untuk kemasukan ke Malaysia kita mengguna pakai kaedah yang sama dengan VTL bersama Singapura. Hari ini, pihak Singapura juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan melaksanakan VTL udara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” ujarnya.
Pada 25 Februari lalu, Perdana Menteri memberitahu, Malaysia bakal memulakan inisiatif VTL udara dengan Thailand dalam waktu terdekat ini ketika mengadakan kunjungan rasmi ke negara berkenaan.