Kerajaan Harus Rangka Strategi Keluarkan Rakyat Dari Jerat Kemiskinan – Ronald

Kerajaan Harus Rangka Strategi Keluarkan Rakyat Dari Jerat Kemiskinan – Ronald

0
SHARE
Ronald
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ( Sumber Foto: Ihsan Perikatan Nasional Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Roland Kiandee memberitahu kerajaan persekutuan untuk berhenti mengamalkan politik dendam dengan mendiskriminasikan kawasan tertentu hanya kerana perbezaan politik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata isu itu menuntut kepada tanggungjawab semua pihak, khususnya kerajaan, bagi merangka strategi terbaik untuk membolehkan masyarakat serta negara keluar daripada jerat kemiskinan.

Adalah diakui kawasan Sabah ketinggalan berbanding negeri-negeri lain terutamanya dalam aspek kemajuan ekonomi dan pembangunan infastruktur. Insiden kemiskinan di Sabah ialah pada kadar 1.2 peratus.

“Itu enam kali ganda lebih tinggi berbanding kadar nasional iaitu 0.2 peratus. Sebagaimana diumumkan oleh Menteri Ekonomi, ia perlu diterima dan dinilai secara matang,” kata Kiandee, yang juga Naib Presiden Parti Bersatu.

Katanya, sebab itu, isu kemiskinan dan jurang pembangunan yang ketara antara semenanjung dan Sabah terus diperjuangkan di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli parlimen Sabah.

“Namun, perlu dijelaskan bahawa kadar kemiskinan yang diumumkan kerajaan itu sebenarnya sudah jauh menurun,” katanya.

Menurutnya, kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) merekodkan insiden kemiskinan di Beluran sebanyak 12.1 peratus.

“Tetapi kini turun kepada lima peratus, manakala Tongod yang merupakan daerah termiskin juga merekodkan penurunan ketara daripada 19.7 peratus kepada 5.9 peratus.

“Kepada kerajaan, saya ingin tegaskan dalam isu kemiskinan ini perlu buta politik.

“Jangan mengamalkan politik dendam dengan mendiskriminasikan kawasan tertentu hanya kerana perbezaan politik,” katanya.

Ronald juga mencadangkan bahawa usaha-usaha kerajaan terdahulu perlu diteruskan kesinambungannya dan ditambah baik melalui idea-idea baharu dengan tumpuan kepada kawasan luar bandar.

Katanya, keadilan sosio-ekonomi wajib dilaksanakan dengan pembangunan infrastruktur di 8 daerah di Sabah yang mencatatkan insiden kemiskinan tinggi mesti dipercepatkan.

“Berhentilah menuding jari. Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu fokuskan segala usaha secara bersama,” katanya.

Kepesatan ekonomi Sabah seperti yang sering dilaung oleh kerajaan negeri perlu dimanfaat oleh rakyat yang berada di luar bandar.