KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperhebatkan usaha dalam memerangi penularan COVID-19 di negara ini dengan melaksanakan pelbagai strategi bermula awal Ogos ini.
Antara usaha itu ialah mempercepatkan pemberian vaksinasi menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti secara terus atau ‘walk in’ di Lembah Klang bermula esok (2 Ogos) bagi mereka yang belum memperoleh janji temu.
Untuk hari ini (1 Ogos) pula, golongan berumur 40 tahun ke atas dan mempunyai komorbid boleh mendapatkan suntikan vaksinasi secara ‘walk in’ yang mana bakal disusuli individu berumur 18 tahun ke atas pada 5 Ogos.
Walau bagaimanapun, perlaksanaan vaksinasi secara ‘walk in’ hanya dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu di Lembah Klang. Di Pulau Pinang, warga emas di negeri itu boleh menerima vaksin COVID-19 secara ‘walk in’ hanya di EMPAT (4) PPV yang akan dikenal pasti mulai 2 Ogos.
Selain strategi vaksinasi, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan penjujukan genom bagi varian COVID-19 secara konsortium dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai Ogos.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang mengumumkan perkara itu, berkata ia tidak lain bagi meningkatkan kapasiti surveilan genom COVID-19 dengan peruntukan RM3 juta membabitkan 3,000 sampel dalam masa tiga bulan.
Sebagai persediaan menampung kemungkinan lonjakan kes jangkitan COVID-19, terdapat beberapa negeri mengambil langkah membuka tambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), membabitkan tambahan sebuah PKRC di Kedah dan lapan lagi di Kelantan bermula Ogos.
Mulai 5 Ogos, Fasa Dua Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) akan berlangsung membabitkan 55,000 pekerja binaan, masing-masing 30,000 di Pulau Pinang dan 25,000 di Johor.
Pelaksanaan undang-undang menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang kali pertama diwartakan pada Mac tahun lalu dan digunakan untuk menguatkuasakan semua perintah berkaitan COVID-19 turut berfungsi sebagai ‘senjata’ mengekang penularan wabak di negara ini.