Kes Ugut Bunuh Nik Elin, polis tunggu laporan SKMM

Kes Ugut Bunuh Nik Elin, polis tunggu laporan SKMM

0
SHARE
Nik Elin bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha

KUALA LUMPUR: Pihak polis masih menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk melengkapkan siasatan mengenai dakwaan ugutan bunuh ke atas peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sebelum ini pihaknya membuka tiga kertas siasatan membabitkan dakwaan ugutan bunuh itu.

“Daripada tiga kertas siasatan, satu sudah selesai, manakala dua lagi masih dalam tindakan.

“Kertas siasatan yang sudah selesai itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan dua lagi dalam siasatan termasuk menunggu laporan SKMM dan lain-lain.

“Sebaik kita dapat laporan itu, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada TPR untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelupusan barang Kes Siri 1/2024 di Balai Polis Damai, di sini, hari ini.

Tambahnya, polis sudah mengenal pasti individu terbabit, namun tiada sebarang tangkapan setakat ini.

“orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan perkara ini sebagai isu polemik. Isu ini berkaitan bidang kuasa membuat undang-undang antara Parlimen dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepertimana kita lihat dalam penghakiman. 

“Jadi, jangan kita terarah ke isu lain, tunggu selepas selesai siasatan, pendakwaan akan putuskan,” tegasnya.