KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu kerajaan Persekutuan memastikan kemudahan kemudahan dan fasiliti perubatan di Sabah berada di tahap yang optimal.
Katanya, kerajaan negeri juga maklum bahawa peralatan yang ada di hospital telah melebihi jangka hayat operasi dan mahu ianya digantikan dengan peralatan perubatan yang baharu bagi memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat lebih banyak fasiliti perubatan dan hospital pakar dibangunkan serta penambahan doktor pakar agar rakyat di negara ini menikmati kemudahan perubatan yang lebih selesa dan berkesan.
“Ini termasuk penambahbaikan dan penaiktarafan klinik kesihatan awam di Sabah dapat dipertingkatkan kerana ini akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik khusus untuk masyarakat di luar bandar negeri ini,” katanya pada Majlis Anugerah
Sedafiat Tahun 2023 di The Grand Ballroom, Magellan Sutera Harbour pada Isnin.
Katanya, dalam usaha untuk memastikan sektor kesihatan di negeri ini terus dipertingkatkan, kerajaan negeri mengalu alukan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri pada Oktober lalu yang memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk membina lima buah klinik kesihatan baharu termasuk di Pulau Mantanani, Kota Belud.
“Sesungguhnya keprihatinan kerajaan Persekutuan amat dihargai kerana kemudahan ini sudah lama dinantikan nantikan oleh penduduk di pulau berkenaan,” katanya.
Hajiji berkata, Sedafiat Sdn Bhd telah memainkan peranan yang amat penting sebagai syarikat peneraju perkhidmatan sokongan di hospital bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat kemudahan kesihatan yang baik, sekaligus dapat menyumbang kepada produktiviti.
Beliau berkata, sebagai peneraju perkhidmatan sokongan di hospital, menjadi tanggungjawab warga Sedafiat untuk bersama-sama kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada rakyat, selain sentiasa menambah baik tadbir urus syarikat.
“Saya merakamkan tahniah Sedafiat kerana melaksanakan Program Sedafiat Technology Innovation & Creativity (STIC) yang mampu memberikan produktiviti serta kualiti kerja yang bermutu tinggi untuk mempertingkatkan lagi penyampaian perkhidmatan syarikat kepada masyarakat,” tegasnya.
Menurutnya, sepanjang perkhidmatannya, syarikat itu telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang sehingga menerima beberapa anugerah.
Hajiji berkata, melalui program Karnival Sukan Sedafiat yang disertai seramai 380 orang kakitangan, menunjukkan warga Sedafiat mementingkan kesihatan tubuh badan dan persekitaran yang sihat bagi mencapai kualiti pekerjaan.