KUSKOP Garis Enam Aspirasi 2024 Kukuhkan PMKS – Ewon

KUSKOP Garis Enam Aspirasi 2024 Kukuhkan PMKS – Ewon

0
SHARE
Ewon
Ewon ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian dan Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024, di Dewan Kadamaian Square Taginambur ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA BELUD, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya menggariskan enam aspirasi tahun 2024 bagi meneruskan program pembangunan dan pengukuhan Perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Beliau berkata, aspirasi itu ialah, meningkatkan penyertaan PMKS dalam industri berimpak tinggi (HGHV) bagi memperkasa rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global serta memperluaskan akses dan peluang pembiayaan bagi meningkatkan pengembangan perniagaan.

“Selain itu, kementerian juga akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan supaya kalis cabaran dan berdaya maju, memperkasa PKS supaya bersedia menerokai pasaran modal menerusi peningkatan kesedaran, kesediaan kemampanan dan tadbir urus korporat.

“Seterusnya memacu pertumbuhan Gerakan Koperasi supaya lebih kompetetif melalui transformasi sokongan koperasi dan memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial melalui perluasan peranan perusahaan sosial untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian dan Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Manteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata, pada tahun ini kementeriannya juga akan melaksanakan beberapa inisiatif dan projek baharu termasuk Program Rangsangan Koperasi Pelancongan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Projek Tamu Desa.

Pada majlis itu Ahmad Zahid meluncurkan tiga projek menaiktaraf Jalan Luar Bandar (JLB) Kedamaian, iaitu Jalan Tengkurus Lahanas Siba-Lahanas Sokid dan Jalan Sayap yang sudah dalam proses pelaksanaan serta Jalan Podos Taginambur yang dalam proses pelantikan kontraktor.

Kesemua projek ini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM244 juta di bawah peruntukan KKDW.

Beliau turut melancarkan Digital Desa satu inisiatif daripada Bank Rakyat dalam membudayakan gaya hidup tanpa tunai dalam kalangan rakyat dan usahawan luar bandar serta menyampaikan sumbangan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat kepada seramai 97 pelajar kawasan Kadamaian.

Ahmad Zahid mengumumkan kelulusan sebanyak 40 unit rumah perumahan penduduk rakyat termiskin (PPRT) kawasan Kadamaian.