Lebih 300 Pelajar Perempuan Telah Diculik Oleh Lelaki Bersenjata

Lebih 300 Pelajar Perempuan Telah Diculik Oleh Lelaki Bersenjata

0
SHARE

KANO, NIGERIA – Lebih 300 perempuan yang merupakan pelajar sekolah telah diculik oleh lelaki bersenjata di barat laut Nigeria semalam dalam penculikan besar-besaran di negara itu, menurut pihak Polis.

Usaha untuk membebaskan pelajar perempuan berkenaan sedang giat dilakukan.

Polis tempatan berkata, kumpulan penjenayah disyaki menyerang Sekolah Menengah Perempuan Kerajaan di Jangebe, sebuah kampung di negeri Zamfara, sekitar jam 1 pagi.

Ini adalah serangan ketiga di sekolah Nigeria dalam tempoh kurang tiga bulan, yang mengenang kembali terhadap penculikan ‘gadis Chibok’ oleh pemberontak hampir tujuh tahun lalu.

“Komando Polis Zamfara, bekerjasama dengan tentera, memulakan operasi mencari dan menyelamat 317 pelajar,” kata jurucakap polis, Mohammed Shehu dalam satu kenyataan yang dipetik AFP.

Keadaan di Jangebe menjadi tegang ketika penduduk tempatan melepaskan kemarahan terhadap wartawan, anggota keselamatan dan pegawai yang tiba di kampung itu.

“Penduduk kampung melempar dua kenderaan yang kami naiki dan memaksa kami untuk bergegas pergi,” kata Umar Shehu, wartawan akhbar Daily Trust.

“Seorang juruvideo cedera di kepala selepas dilempar batu yang menghancurkan cermin hadapan kereta,” katanya kepada AFP.

Ibu bapa yang kecewa berkumpul di sekolah berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan berita mengenai anak-anak mereka, kata dua guru.

“Kira-kira 50 pelajar yang berjaya melarikan diri dalam kejadian itu dibawa pulang…

“Lelaki bersenjata itu tiba di sekolah dengan menaiki kenderaan, tetapi beberapa gadis dipaksa berjalan kaki merentasi semak samun,” kata Pesuruhjaya Penerangan negeri, Sulaiman Tunau Anka.

Presiden Muhamadu Buhari mengutuk penculikan itu sebagai ‘tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima’.

“Pentadbiran ini tidak akan tunduk kepada pemerasan oleh penyamun yang menyasarkan pelajar sekolah yang tidak bersalah dengan harapan mendapat wang tebusan yang banyak,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam penculikan itu dan menuntut pembebasan mereka dengan segera.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk belajar tanpa rasa takut akan keganasan,” kata jurucakapnya Stephane Dujarric.