PENAMPANG, SABAH – Seorang lelaki 23 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori dekat Kampung Kivatu pada tengah malam Isnin.
Dalam kejadian 12.59 itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1.
Ketua Polis Penampang, Supt Sammy Newton berkata pemandu lori lelaki warga tempatan 32 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan fizikal.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 133) di mana jika disabit kesalahan, boleh dipenjara 5 hingga sepuluh 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
“Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Menurutnya, orang awam juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video insiden bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.